Beri pernyataan palsu, pembantu peribadi didenda RM350,000

Diterbitkan: Selasa, 18 Ogos 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang pembantu peribadi dijatuhi hukuman denda RM350,000 atau setahun penjara setelah mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap tuduhan bersubahat dengan syarikat tempatnya bekerja dengan memberi pernyataan palsu kepada Bursa Malaysia.

Hakim Asmadi Hussin yang menjatuhkan hukuman itu terhadap Kok Hen Sen @ Kok Liew Sen, 63, pembantu peribadi kepada Pengarah Eksekutif Megan Media Holdings Berhad bagaimanapun membenarkan denda itu dibayar sehingga esok. Kok didakwa bersubahat dengan syarikat Megan Media Holdings Berhad iaitu sebuah syarikat tersenarai di Papan Utama Bursa Malaysia dengan memberi pernyataan palsu bahawa bahawa Megan Media mempunyai pendapatan sebanyak RM1 bilion.

Menurut kertas pertuduhan, pernyataan palsu itu terkandung di dalam muka surat 14 penyata kewangan Megan Media Holdings Bhd dan anakanak syarikat bagi tahun kewangan berakhir 30 April 2006.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Bursa Malaysia Securities Bhd, Bukit Kewangan, di sini pada 30 Ogos 2006.

Bagi kesalahan itu, Kok didakwa mengikut Seksyen 122B (a) (bb) Akta Perindustrian Sekuriti 1983 dibaca bersama Seksyen 122C (c) akta sama, dan jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM3 juta atau penjara sehingga 10 tahun atau keduaduanya.

Terdahulu, Peguambela Kevin Chong, yang mewakili Kok, memohon agar mahkamah tidak mengenakan hukuman penjara sebaliknya hanya mengenakan hukuman ringan terhadap anak guamnya.

Beliau berkata ini berikutan usia anak guamnya yang telah tua dan mempunyai pelbagai penyakit antaranya hipertensi dan sakit jantung, malah kesihatannya juga kini kian merosot.

Kevin berkata anak guamnya bukanlah pembuat keputusan dan hanya merupakan pekerja di syarikat itu yang menjalankan tugas seperti yang diarahkan, malah anak guamnya langsung tidak mendapat faedah daripada perbuatan berkenaan.

"Sememangnya tertuduh sedar bahawa beliau tidak patut mengikuti semua arahan dalam menjalakan tugasnya di syarikat, dan tertuduh kini telah insaf dan sedar akan kesilapanya itu," kata Kevin.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Sekuriti Rosmawar Rozain. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan