Pengarah dan pengurus didakwa ubah wang haram RM16 juta

Diterbitkan: Isnin, 17 Ogos 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang pengarah dan seorang pengurus syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini Isnin atas lima pertuduhan melibatkan dalam pengubahan wang haram berjumlah US$4,528,387 (RM16 juta) tahun lepas.

Pengarah syarikat Plustrans Resources Sdn Bhd, Tengku Shaiffuliazan Tengku Zainal Abidin dan pengurus syarikat Mohd Fuad Hamzah, kedua-dua berusia 44 tahun, didakwa memindahkan wang tersebut ke dalam dua akaun syarikat.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka memindahkan wang tersebut hasil dari aktiviti haram daripada akaun semasa tukaran asing ke dalam akaun semasa syarikat Plustrans dan akaun semasa tukaran asing milik syarikat Microvest Engineering Sdn Bhd.

Mereka didakwa melakukan kesalahan tersebut di Malayan Banking Berhad, Level 2, Unit 49, Kompleks Pernas-SOGO, 190, Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini, antara 5 dan 6 Mei 2008.

Bagi kesemua pertuduhan tersebut, mereka didakwa mengikut Sub-Seksyen (1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang boleh membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda sehingga RM1 juta atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Terdahulu itu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Farez Rahman memohon agar mahkamah mengenakan ikat jamin sebanyak RM1 juta bagi setiap tertuduh.

Bagaimanapun, peguam bela Datuk Salehuddin Saidin yang mewakili kedua-dua tertuduh, memohon agar mahkamah mengenakan jumlah ikat jamin yang rendah terhadap anak guamnya.

Beliau berkata ianya adalah disebabkan kedua-dua anak guamnya sebelum ini masing-masing baru sahaja diikat jamin sebanyak RM800,000 oleh Mahkamah Sesyen Melaka atas kes penipuan.

"Saya mohon agar diambil kira jumlah ikat jamin di Melaka, atas alasan kedua-dua kes ini mempunyai kaitan, di mana wang yang dikatakan dipindahkan untuk kes wang haram ini adalah didakwa hasil daripada kes penipuan di Melaka," kata Salehuddin.

Hakim Asmadi Hussin kemudian membenarkan ikat jamin sebanyak RM200,000 bagi setiap tertuduh dan menetapkan 11 Sept ini untuk sebutan semula kes.

Asmadi bagaimanapun membenarkan mereka membayar RM100,000 sebagai deposit kepada mahkamah. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan