Seorang wanita dituduh edar heroin seberat 450 gram

Diterbitkan: Khamis, 13 Ogos 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Seorang wanita hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu atas tuduhan mengedar heroin seberat 450 gram pada 3 Ogos lalu.

Tertuduh Mariah Hamad, 47, dari Kampung Kubang Rambutan, Rantau Panjang, Kelantan dituduh melakukan perbuatan itu di Masjid Padang Nenas, Mengabang Telipot, Batu Rakit pada jam 3.45 petang hari berkenaan.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 39 B (a)(2) akta yang sama yang membawa hukuman mati mandatori.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Amer Abu Bakar Abdullah di hadapan Pendaftar Mahkamah Md Khairul 'Anuar Ibrahim.

Bagaimanapun, suami wanita berkenaan dibebaskan hari ini tanpa sebarang pertuduhan.

Sementara itu, di mahkamah yang sama seorang lelaki mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengedar dadah berbahaya jenis heroin seberat 21.6 gram.

Tertuduh Kamaruzaman Mohd Zain, 44 didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Kampung Pengkalan Stor, Gelugor Kedai, Marang pada 2 Ogos lalu pada jam 4.25 pagi.

Dia dituduh mengikut Seksyen 39 B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 39 B (2) akta yang sama yang membawa hukuman mati mandatori.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 11 Okt ini sebagai tarikh sebutan semula kes itu bersama ujian laporan kimia untuk keduadua kes.

Kamaruzaman turut didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan memiliki dadah berbahaya iaitu jenis methamphetamine sebanyak 32 gram.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 39 A (2) akta yang sama yang boleh dipenjara tidak kurang lima tahun atau dipenjara seumur hidup dan diwajibkan tidak kurang 10 kali sebatan.

Pendakwaan dilakukan oleh Amer Abu Bakar di hadapan Hakim Mohammad Khalid Ab Karim yang kemudian menetapkan 11 Okt ini sebagai tarikh sebutan semula kes itu. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan