Mahkamah Rayuan putuskan penyewa boleh saman tuan rumah

Diterbitkan: Rabu, 12 Ogos 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA Mahkamah Rayuan semalam mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa penyewa rumah boleh menyaman tuan rumah atas tuduhan memfitnah.

Korum Mahkamah Rayuan yang terdiri daripada Hakim Datuk Zainun Ali, Datuk Ahmad Maarop dan Datuk Jeffery Tan Kok Wha sebulat suara menolak rayuan Yee Eh Farn untuk menolak keputusan Mahkamah Tinggi yang mengarahkan kes itu dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Korum tiga hakim itu memutuskan bahawa penyewa boleh menyaman tuan rumah kerana memfitnah jika kandungan notis yang dikeluarkan tuan rumah mengandungi elemen fitnah dan tindakan awam.

Yee, seorang rakyat Malaysia yang menetap di New South Wales, Australia, telah menghantar notis kepada penyewanya, Dr Abdul Rashid Abdul Majid, memaklumkannya mengenai sewa bulanan RM1,200 yang belum dijelaskan dan mendakwa ia melanggar terma perjanjian penyewaan seperti taman yang tidak terjaga, menukar kunci baru dan menyewa premis di Taman P.Ramlee, Setapak, kepada pihak ketiga.

Beliau telah menyalin notis itu kepada bakal peguam Abdul Rashid, Tetuan Rashid & Lee, kepada rumah di mana Abdul Rashid sedang menetap dan begitu juga ke kliniknya di Selayang.

Dr Abdul Rashid, 63, menyaman Yee, 49, kerana memfitnah pada 10 Nov 2002, bagi menuntut RM250 juta sebagai gantirugi dengan mendakwa kandungan notis itu berniat jahat.

Dalam pernyataan pembelaannya, Yee memohon justifikasi dan kelayakan hak istimewa. Pada 9 Oktober 2003, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa kes itu boleh dibicarakan dan menolak permohonan Yee untuk menolak terus saman itu.

Tidak puas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi, Yee membuat rayuan di Mahkamah Rayuan.

Peguam bela M.Manoharan, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Kota Alam Shah mewakili Dr Abdul Rashid mempertikai bahawa ada sebab di atas tindakan berhubung perkara itu tetapi peguam Alvin John yang mewakili Yee menegskan bahawa seorang tuan rumah mempunyai hak untuk menghantar notis kepada penyewa mereka. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan