Ibu kecewa ganti rugi rawatan wajah anak dikurangkan

Diterbitkan: Selasa, 11 Ogos 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang ibu yang menang dalam kes samannya terhadap dekan sebuah hospital lima tahun lepas, hari ini kecewa dengan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengurangkan separuh jumlah ganti rugi yang diberikan kepadanya daripada RM60,000 kepada RM30,000.

K. Amjutam, 44, yang terkejut dengan keputusan itu memberitahu media bahawa wang RM60,000 yang diberikan kepadanya sebelum ini, adalah bagi merawat wajah anak perempuannya yang kini tidak normal lagi.

Amjutam berkata, anaknya K. Primila yang kini berumur 15 tahun kerap dibuli rakan-rakannya di sekolah akibat kekurangan pada wajahnya itu.

"Dengan wang itu saya boleh merawat wajah anak saya. Sekarang saya dan suami masih ada, jika kami tiada macam mana dengan kos rawatan anak kami," katanya kepada media selepas Mahkamah memberikan keputusan itu.

Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Ariff Md Yusof yang membuat keputusan itu dalam kamarnya, membenarkan rayuan dekan Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi menurunkan jumlah gantirugi RM60,000 yang diberikan kepada Primila.

Peguam Lim Chi Chau yang mewakili Primila yang turut hadir di mahkamah, memberitahu media bahawa Mohamad Ariff membenarkan rayuan dekan hospital itu atas alasan kekurangan bukti daripada mangsa (Primila) berhubung kos pembedahan yang diperlukan bagi wajahnya dan keluarga Primila juga tidak membuat rawatan susulan walaupun diminta berbuat demikian oleh hospital itu.

Pada 24 Disember 2004, Hakim Mahkamah Sesyen memutuskan dekan hospital itu yang merupakan defendan kedua dalam kes saman kecuaian perubatan yang difailkan Primila telah cuai dalam menjalankan tanggungjawab dan memerintahkan dekan hospital itu membayar ganti rugi am dan khas RM60,000 kepada Primila.

Hakim Mahkamah Sesyen ketika itu Siti Mariam Othman dalam keputusannya berkata beliau memberikan jumlah itu kepada Primila setelah melihat sendiri keadaan fizikal Primila yang ketika itu berumur 10 tahun di mana terdapat kesan parut di kepala bahagian tepi kiri dan rambut tidak tumbuh seperti biasa.

"Tuntutan plaintif (Primila) adalah untuk ganti rugi am dan khas akibat kecederaan yang dialami olehnya dan juga tekanan mental oleh keluarga akibat daripada keadaan fizikal plaintif," katanya.

Siti Mariam berkata jumlah itu adalah munasabah bagi merawat wajah plaintif memandangkan dia adalah seorang kanak-kanak perempuan dan ini penting untuk masa depannya.

"Sesungguhnya wajah beliau berada dalam keadaan tidak normal sejak bayi hingga sekarang. Mahkamah juga mengambil kira yang plaintif adalah kanak-kanak perempuan dan akan meningkat remaja di mana kesan kecacatan pada wajahnya mungkin akan mengganggu emosinya," kata Siti Mariam.

Pada 1998, Primila menfailkan saman kecuaian terhadap Hospital Besar Kuala Lumpur sebagai defendan pertama, dekan UKM defendan kedua dan kerajaan Malaysia defendan ketiga.

Dalam pernyataan tuntutan yang turut menamakan bapa budak itu, K.Krishnan, sebagai wakil budak itu, menyatakan Primila dilahirkan pada 29 November 1994 selepas ibunya mengalami abruptio placenta (iaitu turun darah selepas mengandung lebih empat bulan) dan doktor melakukan pembedahan kecemasan terhadap ibunya.

Akibat dilahirkan tidak cukup bulan dan dengan berat 1.2 kilogram budak itu diletakkan di bawah jagaan hospital itu dan pada hari ke 65, drip intravena ditempatkan di kulit kepalanya yang telah terkeluar menyebabkan drip itu mengalir keluar ke atas kulit kepala dan mukanya dan budak itu mengalami kecederaan.

Dekan hospital itu dalam pernyataan pembelaannya menafikan yang mereka cuai semasa memberikan rawatan tetapi menyatakan bahawa kecederaan itu adalah disebabkan oleh faktor-faktor di luar kawalan hospital itu. BERNAMA

iklan

Video

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 10:55 PM

Abam Bocey Malu Manja Dengan Isteri Depan Kamera

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Khamis, 7 Disember 2017 8:00 PM

Nadzmi Adhwa Dikurung Selepas Kantoi Dadah

Rabu, 6 Disember 2017 2:00 PM

"Makin Ramai Nak Taja Saya" - Wany Hasrita

Kolumnis

iklan

Iklan