Kugan: Mahkamah batalkan permohonan ibunya

Diterbitkan: Selasa, 4 Ogos 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan bantahan awal Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan membatalkan notis usul yang dikemukakan oleh ibu mendiang A. Kugan untuk mendapatkan semula sampel dan dokumen yang dirampas daripada pejabat ketua Jabatan Patologi, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Hakim Datuk Ghazali Cha bagaimanapun memberi kebenaran kepada N. Indra untuk membuat permohonan semula.

Dalam penghakimannya, Ghazali berkata, mahkamah bersetuju dengan hujahan yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noorin Badaruddin yang mewakili responden, PDRM bahawa notis yang dikemukakan oleh Indra adalah lebih bersifat satu permohonan sivil.

Ghazali menjelaskan bahawa mahkamah bersetuju dengan dua alasan utama bantahan awal pihak responden yang menyatakan bahawa pemohon telah gagal menyatakan di bawah bidang kuasa atau peruntukan mana, mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk memutuskan permohonan ini.

"Perintah dalam permohonan itu sendiri adalah terhalang di sisi undang-undang kerana rampasan itu adalah untuk tujuan siasatan dan ianya dibenarkan, sepertimana dihujahkan," jelas beliau.

Ghazali berkata, mahkamah juga bersetuju bahawa sesuatu tindakan di mahkamah terhadap sesuatu permohonan adalah penting untuk mahkamah mengkaji peruntukan undang-undang yang relevan.

"Tanpa intitulemen yang betul dan tepat akan mengakibatkan mahkamah tertanya-tanya atau meneka mengenai peruntukan undang-undang dan Akta yang berkaitan," jelas Ghazali.

Walaupun beliau bersetuju bahawa permohonan ini cukup teknikal tetapi ia amat dititikberatkan oleh mahkamah bagi tujuan supaya suatu perbicaraan yang adil dapat dijalankan.

"Intitulemen bukan sahaja mustahak kepada mahkamah tetapi juga kepada pihak lawan bagi menyediakan jawapan ataupun rujukan untuk penyediaan kes mereka," kata Ghazali.

Pada 28 Mei, Indra memfailkan saman terhadap polis kerana merampas dokumen dan sampel berkaitan dengan autopsi kedua ke atas Kugan daripada pejabat ketua Jabatan Patalogi PPUM pada 6 April.

Kugan, 22, yang ditahan berhubung jenayah curi kereta mewah meninggal dunia semasa dalam tahanan polis pada 20 Januari lepas.

Di luar mahkamah, peguam pemohon N. Surendran berkata, beliau akan mendapatkan arahan lanjut daripada anak guamnya sama ada untuk membuat rayuan terhadap keputusan itu ataupun membuat permohonan semula untuk mendapatkan sampel.

"Walau apa carapun, kami tetap akan berusaha mendapatkan sampel-sampel tersebut melalui proses mahkamah dan seterusnya mendapatkan keadilan untuk Kugan," kata Surendran. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan