Syarikat peralatan kanvas saman PDRM RM1.5 juta

Diterbitkan: Rabu, 22 Julai 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Sebuah syarikat peralatan kanvas hari ini memfailkan saman bagi menuntut RM1.5 juta daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan tiga lain kerana mendakwa mereka melanggar terma perjanjian.

System Canvas (M) Sdn Bhd yang mengemukakan saman itu di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil di sini melalui Tetuan Azmi Talib & Associates menamakan Pengarah Jabatan Logistik PDRM, PDRM, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia sebagai defendan.

Dalam pernyataan tuntutan itu, syarikat berkenaan yang beralamat di Jalan Batu, Batu Caves, menuntut hutang pada jumlah pesanan yang belum dibayar sebanyak RM543,333, dan ganti rugi khas RM964,000 selain ganti rugi teruk, teladan dan faedah pada kadar 8 lapan peratus setahun, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Dalam pernyataan tuntutan, syarikat itu mendakwa telah menandatangani kontrak dengan kerajaan Malaysia berjumlah RM833,332.50 untuk membekalkan peralatan perkhemahan kepada PDRM bagi tempoh 1 Okt 2006 hingga 30 Sept 2008.

Setelah syarikat itu menyiapkan peralatan yang dipesan, ia diberitahu mengenai satu prosedur baru pemeriksaan bagi peralatan keluaran mereka, yang tidak dinyatakan dalam terma perjanjian, dan akibat proses prosedur baru itu mengambil masa agak lama, tempoh kontrak akhirnya tamat dan defendan tidak menerima peralatan yang dibuat, dan ini menyebabkan syarikat itu mengalami kerugian untuk kos penyediaan peralatan itu.BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan