Bekas eksekutif perakaunan didakwa pecah amanah lebih RM8 juta

Diterbitkan: Jumaat, 17 Julai 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JOHOR BAHARU: Seorang bekas eksekutif perakaunan sebuah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap 20 pertuduhan melakukan pecah amanah melibatkan lebih RM8.16 juta.

M. Suresh, 38, dari Taman Zamrud di Ulu Tiram, didakwa melakukan semua kesalahan itu antara 11 Dis 2007 hingga 10 Dis, 2008 semasa bekerja untuk Serimax Welding Services (M) Sdn Bhd di Pasir Gudang.

Dia didakwa memindahkan wang syarikat itu melalui 20 transaksi ke dalam akaun empat syarikat Modus Perintis Sdn Bhd; Shanghai Fortune Machinery Co Ltd; Mac Warners (Singapore) Pte Ltd; China National Electronics Import and Export Shenzen Company.

Dia didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan atau denda, jika sabit kesalahan.

Suresh didakwa telah memindahkan melalui pemindahan telegraf ke dalam akaun Modus Perintis sebanyak RM15,000 pada 11 Dis 2007; RM120,010 (29 Feb 2008); RM180,000 (11 Mac 2008); RM7,000 (21 April 2008); RM10,000 (20 Mei 2008); RM12,000 (6 Jun 2008); RM400,000 18 (Jun 2008); RM60,000 (4 Julai 2008); RM320,000 (15 Julai 2008); RM10,000 (15 Okt 2008); dan RM30,000 (6 Nov 2008).

Dia juga didakwa memindahkan wang syarikat dengan cara yang sama ke dalam akaun Shanghai Fortune Machinery sebanyak USD50,000 pada 8 Ogos 2008; USD400,000 (14 Ogos 2008); USD420,000 (22 Sept 2008); USD450,000 (20 Okt 2008); USD30,000 (6 Nov 2008); USD30,000 (6 Nov 2008); dan USD375,000 (10 Dis 2008).

Dia juga didakwa memindahkan sebanyak USD120,000 ke dalam akaun Mac Warners pada 14 Dis 2007 dan USD124,000 ke dalam akaun China National Electronics Import and Export Shenzen Company pada 26 Feb 2008.

Timbalan Pendakwa Raya Hashley Tajudin memohon mahkamah mengenakan ikat jamin sebanyak RM800,000, iaitu 10 peratus daripada jumlah wang terlibat dalam kes itu.

Bagaimanapun peguam V. Stainislaus yang mewakili Suresh mencadangkan agar mahkamah mengenakan ikat jamin sekitar RM50,000 dan RM60,000 kerana ikat jamin yang diminta pihak pendakwaan adalah terlalu besar.

Hakim Abd Ghafar Ab Latif kemudian membenarkan Suresh diikat jamin RM70,000 dan menetapkan tiga hari dari 3 Jan tahun depan bagi tarikh perbicaraan. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan