Prosiding inkues Sujatha "panas"

Diterbitkan: Jumaat, 10 Julai 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Koroner yang mengendalikan prosiding inkues kematian aktres K. Sujatha berdepan tugas sukar dalam memastikan prosiding itu tidak sampai ke tahap "terlalu panas" apabila anggota Parlimen Kapar S. Manikavasagam memberikan keterangan semalam.

Koroner Mohd Faizi Che Abu pada satu peringkat terpaksa menggunakan pen beliau untuk mengetuk meja beberapa kali untuk mendapatkan perhatian peguam yang mewakili Manikavasagam dan juga Ketua Pegawai Eksekutif Maika Holdings S. Vell Paari.

Keadaan itu berlaku selepas peguam yang mewakili Vell Paari, Datuk K. Kumaraendran berhujah bahawa sebahagian besar keterangan Manikavasagam adalah keterangan kurang kukuh dan dengar cakap.

Beliau menegaskan inkues itu tidak perlu menumpukan kepada keterangan anggota Parlimen itu kerana saksi sendiri telah mengaku yang beliau tidak mempunyai sebarang pengetahuan secara peribadi atau keterangan mengenai kematian Sujatha.

Ini mendorong peguam yang mewakili Manikavasagam, N. Surendran membantah hujahan Kumaraendran, menyatakan Manikavasagan merupakan pihak yang mempunyai kepentingan dalam prosiding itu kerana beliau yang membuat laporan polis berikutan dua pucuk surat dan tiga keping cakera padat video (VCD) berhubung kes itu yang dihantar kepadanya oleh individu tidak dikenali atau orang yang tidak mahu identiti mereka didedahkan.

Apabila pertikaman lidah itu menjadi semakin tidak terkawal, Mohd Faizi mengingatkan Surendran akan ketetapannya yang terdahulu bahawa beliau dan rakannya M. Manogaran hanya dibenarkan bertindak sebagai peguam pemerhati dan bukan menyoal saksi.

Mohd Faizi turut membuat beberapa ketetapan termasuk mahkamah tidak akan mengarahkan Manikavasagam mendedahkan identiti lelaki yang didakwanya telah menyerahkan kepingan ketiga VCD itu akhir tahun lepas, yang didakwa mengandungi rakaman upacara keagamaan bagi pengebumian Sujatha di mana Vell Paari dan bapanya Datuk Seri S. Samy Vellu turut hadir.

"Inkues ini bertujuan untuk mengetahui punca kematian dan VCD ini pada pandangan saya tidak relevan dengan inkues ini," kata Mohd Faizi.

Inkues itu diadakan berikutan kematian aktres berumur 28 tahun itu di Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang pada 25 Jun, 2007, enam hari selepas dimasukkan ke hospital itu atas dakwaan meminum racun rumpai.

Terdahulu, kepada soalan Timbalan Pendakwa Raya Geethan Ram Vincent yang membantu koroner, Manikavasagam berkata beliau membuat laporan polis pada 27 Julai, 2007 selepas menerima dua pucuk surat tanpa tandatangan dan dua keratan laporan akhbar dalam bahasa Tamil yang mendakwa wujud unsur jenayah dalam kematian aktres itu.

Katanya tiga hari sebelum membuat laporan polis itu, seorang lelaki India menghubunginya melalui telefom bimbit mendakwa dirinya telah menghantar dua surat mengandungi maklumat mengenai kematian Sujatha dan mahu beliau melaporkannya kepada polis.

"Malahan ibu Sujatha turut menghubungi saya tiga bulan selepas saya membuat laporan polis bertanyakan sama ada bedah siasat telah dilakukan terhadap mayat Sujatha dan apabila saya memberitahunya tidak, beliau menggesa saya mendapatkan keadilan terhadap kematian anaknya itu," dakwa Manikavasagam.

Kepada soalan lain Geethan sama ada pemanggil itu adalah ibu Sujatha, Manikavasagam berkata beliau yakin itu adalah ibu aktres itu kerana wanita itu membuat panggilan dari pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Ipoh dan telah meminta bantuan anggota parti, R. Jenabala.

Kepada soalan Kumaraendran mengenai kenapa beliau mendesak Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan merekodkan kenyataannya, Manikavasagam mendakwa ia adalah kerana tiada penyiasatan terhadap laporan polis yang dibuatnya dan mendakwa Ketua Polis Daerah Sentul ACP K. Kumaran cuba menutup kes itu.

Kepada soalan terakhir oleh Mohd Faizi sama ada beliau mahu memberikan maklumat lanjut bagi membantu inkues itu, Manikavasagam berkata walaupun beliau tidak mempunyai pengetahuan secara peribadi mengenai punca kematian Sujatha, beliau masih percaya yang aktres itu dibunuh.

Inkues disambung esok. BERNAMA

iklan

Video

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan