Mahkamah Persekutuan benarkan Nizar merayu dalam isu Menteri Besar

Diterbitkan: Khamis, 9 Julai 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Perebutan bagi jawatan Menteri Besar Perak bakal berlarutan di Mahkamah Persekutuan di sini selepas mahkamah tertinggi itu memberikan kebenaran kepada bekas menteri besar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin merayu terhadap pengisytiharan Mahkamah Rayuan bahawa Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir adalah menteri besar yang sah.

Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff, yang bersidang bersama-sama Hakim Besar Malaya Tan Sri Ariffin Zakaria dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Zulkefli Ahmad Makinuddin, memberikan kebenaran itu selepas responden, Dr Zambry, dan pencelah Tan Sri Abdul Ghani Patail tiada bantahan terhadap permohonan itu.

Bagaimanapun, panel tiga hakim itu menolak permohonan Mohammad Nizar bagi penangguhan pelaksanaan keputusan Mahkamah Rayuan yang dibuat pada 22 Mei lepas.

"Ini adalah keputusan sebulat suara, permohonan bagi penangguhan ditolak. Bagaimanapun, kami akan mengambil langkah untuk mendengar rayuan ini secepat mungkin," kata Alauddin.

Terdahulu, peguam yang mewakili Mohammad Nizar, S. Ambiga, memberitahu mahkamah bahawa peguam utama, Sulaiman Abdullah, tidak sihat dan tidak hadir pada prosiding Khamis.

Ambiga, bekas presiden Majlis Peguam, kemudian mengemukakan tiga persoalan untuk pertimbangan mahkamah tertinggi itu:

1. sama ada di bawah Perkara 16(6) Undang-undang Tubuh Negeri Perak, jawatan Menteri Besar Perak kemungkinan atau telah dikosongkan,

2. sama ada Perkara 16(6) Undang-undang Tubuh Negeri Perak, penentuan isu kepercayaan ke atas Menteri Besar Perak telah dibuat oleh Anggota Dewan Undangan Negeri Perak mengenai resolusi kepercayaan atau sebaliknya,

3. sekiranya Menteri Besar enggan meletakkan jawatannya, sama ada mengikut Undang-undang Tubuh Negeri Perak, seorang Menteri Besar mungkin dipecat daripada pejabat atau jawatan Menteri Besar dianggap kosong atau telah dikosongkan.

Ambiga kemudian meminta mahkamah bagi penangguhan pelaksanaan keputusan Mahkamah Rayuan.

"Setelah responden (Zambry) dilantik pada 6 Feb, 2009 sehingga keputusan Mahkamah Rayuan pada 22 Mei, 2009, dalam masa tiga bulan, responden dan kerajaan Barisan Nasional telah mengambil tindakan yang tidak memberi manfaat kepada rakyat Perak," kata Ambiga sambil membaca afidavit yang diikrarkan oleh Nizar.

Antara tindakan tersebut ialah:

* responden telah gagal atau enggan melaksanakan program-program kebajikan yang telah diluluskan dalam pembentangan bajet 2009 di Dewan Undangan Negeri seperti tabung kifalah, tabung khas kebajikan rakyat, peningkatan kadar bantuan bulanan kepada keluarga miskin dan tabung pinjaman perniagaan kecil.

* menamatkan perkhidmatan ketua-ketua kampung seluruh Perak dan membubarkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan kampung

* menukar senarai dan menamatkan perkhidmatan ahli-ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan

* melengahkan projek perkhidmatan bas bersepadu Ipoh Sentral

* melelong kereta Camry yang digunakan sebagai kenderaan rasmi ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

"Kami membantah penangguhan keputusan. Jika penangguhan dibenarkan, mahkamah yang dihormati ini akan campur tangan dalam kuasa eksekutif menteri besar sedangkan mahkamah ini tidak mempunyai bidang kuasa untuk berbuat demikian," hujah peguam yang mewakili Dr Zambry, Datuk Cecil Abraham.

"Permohonan penangguhan ini adalah tidak betul. Dasarnya mungkin betul atau salah, terserah kepada ahli politik itu

"Jika penangguhan dibenarkan, perintah Mahkamah Tinggi akan dikekalkan semula dan perayu akan menjadi menteri besar. Ini adalah perkara yang mahkamah tidak patut lakukan," kata Abraham dan menambah kata bahawa pasukannya sudah bersedia untuk mempercepatkan perbicaraan kes itu.

Abdul Gani, selaku pencelah, turut mengambil pendirian sama dan membantah permohonan itu.

Ambiga menjawab: "Perintah sementara itu perlu diberikan untuk menghalang prejudis terhadap perayu. Sesetengah dasar itu tidak boleh diubah.

"Semua keputusan yang dibuat perayu dan anggota Exconya perlu diteruskan demi kepentingan rakyat di Perak.

"Responden telah memohon bagi penangguhan keputusan Mahkamah Tinggi, mereka kini tidak boleh kata yang kami tidak boleh buat perkara yang sama," katanya.

Pada 13 Feb, tahun ini, Mohammad Nizar memulakan tindakan undang-undang bagi memohon diisytiharkan yang beliau adalah menteri besar yang sah dan injunksi untuk melarang Dr Zambry daripada menjalankan tugasnya.

Pada 11 Mei, Mahkamah Tinggi mengisytiharkan Mohammad Nizar sebagai menteri besar Perak yang sah tetapi keputusan itu dibatalkan oleh Mahkamah Rayuan pada 22 Mei. BERNAMA

iklan

Video

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Kolumnis

iklan

Iklan