Bekas kerani akaun Citibank didakwa pecah amanah

Diterbitkan: Jumaat, 3 Julai 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Bekas kerani akaun sebuah bank mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap pertuduhan pecah amanah wang tunai RM25,000 tujuh bulan lepas.

Mohd Nazmi Shariff, 26, didakwa melakukan pecah amanah terhadap wang itu yang diamanahkan majikannya, Citibank Berhad, di premis bank di Jalan Ampang pada 7 Nov 2008 dan 14 Nov 2008.

Mohd Nazmi dari Bandar Baru Bukit Tinggi 2, Klang, didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan sebat serta denda.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Haslida Isamail menawarkan ikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin tetapi Mohd Nazmi, yang tidak diwakili peguam, meminta mahkamah mengenakan ikat jamin rendah terhadapnya kerana dia telah diberhentikan kerja dan perlu menanggung ibu bapanya yang sudah tua.

Hakim Mohd Zaki Abdul Wahab kemudian mengenakan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 12 Julai ini untuk sebutan semula kes.

Sebagai syarat tambahan, Mohd Nazmi perlu menyerahkan pasport antarabangsanya kepada mahkamah selain melaporkan diri ke Balai Polis Klang setiap dua minggu.BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan