Penganggur dan jurusolek diperintah bela diri bunuh warga Singapura

Diterbitkan: Khamis, 2 Julai 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR Seorang penganggur dan jurusolek diperintahkan membela diri oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh penerbit dan juga pelakon wanita warganegara Singapura pada 2001.

Hakim Datuk Mohamed Apandi Ali berkata pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Mohd Fazli Ismail, 27, dan Esma Faizul Zainul Nor, 38.

Mohamed Apandi, dalam penghakimannya, berkata pihak pendakwaan telah memenuhi semua elemen pendakwaan ke atas keduadua tertuduh untuk membela diri terhadap tuduhan membunuh Una Angelia Oliveiro, 44.

Mohd Fazli dan Esma Faizal didakwa melakukan kesalahan itu di banglo milik mangsa di No. 20, Jalan Bukit Travers, Brickfields kira-kira 11.15 pagi pada 14 Nov 2001.

Mohamed Apandi Ali berkata mahkamah telah mengambil beberapa faktor sebelum mengambil keputusan, terutamanya pengakuan keduadua tertuduh pada hari yang sama kepada seorang rakan mereka bahawa mereka telah membunuh seorang wanita yang pernah berlakon dalam drama Melayu, Kipas Anggun.

Beliau menjelaskan mahkamah menerima keterangan dua saksi pendakwaan yang memberi keterangan tentang pengakuan yang dibuat oleh mereka.

"Mahkamah juga mengambil kira keterangan saksi yang mengenal pasti mayat si mati tanpa dipersoalkan oleh sesiapa dan keterangan jiran mengenai kejadian itu turut mengukuhkan lagi kes pihak pendakwaan," kata Mohamed Apandi.

Menurutnya keterangan pakar patologi bahawa mangsa tidak melawan ketika diserang serta kemungkinan dipegang oleh penyerangnya sebelum ditikam di bahagian dada, di mana mangsa telah mengalami pendarahan yang teruk.

"Tidak ada sebab untuk tidak percaya kepada saksisaksi pendakwaan yang memberi keterangan, di mana kedua-dua tertuduh telah pergi ke tempat kejadian dan meninggalkan tempat itu secara bersamasama," katanya.

Mohd Apandi menetapkan 5 Ogos ini bagi Mohd Fazli dan Esma Faizul membuat pembelaan masing-masing.

Peguam Amer Hamzah Arshad mewakili Esma Faizul dan peguam Zamri Ibrahim mewakili Mohd Fazli manakala Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz mewakili pihak pendakwaan. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan