Mat Rempit tunggang motor ala 'Superman' dipenjara 6 bulan

Diterbitkan: Khamis, 2 Julai 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak rayuan seorang 'mat rempit' terhadap hukuman penjara enam bulan dan denda RM7,000 kerana kesalahan menunggang motosikal ala 'superman' di sini hampir enam tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Zainal Azman Ab Aziz mengekalkan keputusan Mahkamah Majistret pada 6 Nov 2008 yang mensabitkan Mohd Zaidi Zainuddin, 24, atas kesalahan itu pada 15 November 2003.

Tertuduh juga dikenakan penjara empat bulan lagi jika gagal membayar denda tersebut. Dalam penghakiman, Zainal Azman berkata majistret telah meneliti keseluruhan fakta kes dan membuat keputusan yang betul ketika mensabit dan menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh.

"Setelah meneliti alasan Majistret, mahkamah ini berpuas hati bahawa tiada kekhilafan telah dilakukan oleh majistret dan hukuman yang dijatuhkan adalah tidak keterlaluan," katanya.

Pada 6 November 2003, Mohd Zaidi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur terhadap tuduhan menunggang motosikal secara melulu dan merbahaya dan didakwa mengikut seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Raja Laut menghala ke Jalan Tuanku Abdul Rahman dan di Jalan Sultan Ismail sehingga persimpangan Jalan Raja Abdullah di sini pada pukul 1.30 pagi hingga 2 pagi, 15 Nov, 2003.

Mohd Zaidi bagaimanapun mengaku bersalah terhadap tuduhan kedua iaitu tidak memiliki lesen memandu yang sah, dan didenda RM200, jika gagal bayar dipenjara dua hari.

Mengikut fakta kes, tertuduh dan sekumpulan penunggang yang lain telah berlumba sesama sendiri dan melakukan aksi merbahaya seperti menunggang laju sambil mengangkat tayar di bahagian depan (wheelie), melakukan pusingan 'lap' beberapa kali, menunggang ala 'superman' dan aksi 'zigzag'.

Tertuduh yang tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Majistret itu mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi atas lima alasan, antaranya majistret gagal mengambil kira faktor mitigasi dan menjatuhkan hukuman yang keterlaluan.

Mohd Zaidi diwakili peguam bela Balwinder Kaur sementara pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Husmin Hussin. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan