Peniaga dipenjara 30 bulan miliki pistol dan peluru tanpa lesen

Diterbitkan: Isnin, 29 Jun 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Minat terhadap senjata api mengundang padah kepada seorang peniaga yang terpaksa berhadapan dengan hukuman penjara 30 bulan kerana memiliki pistol dan peluru tanpa lesen sah.

Koh Aik Hean, 37, yang mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, diperintahkan untuk menjalani hukuman penjara 30 bulan atas pertuduhan memiliki pistol manakala bagi pertuduhan kedua memiliki peluru selama 15 bulan.

Bagaimanapun, Hakim Zainal Abidin Kamaruddin memutuskan supaya hukuman itu berjalan serentak bermula dari tarikh Koh ditangkap iaitu pada 26 Jan 2008.

Mengikut pertuduhan, Koh didakwa memiliki sepucuk pistol Smith & Wesson Auto dan sepucuk Revolver .38 Spl tanpa satu lesen yang sah, di Jalan 2/95b, Cheras, pada 4 petang, 26 Januari 2008.

Koh turut didakwa memiliki 16 butir peluru hidup jenis Calibre 45 Auto dan 17 butir peluru jenis .38 Spl, pada waktu, tarikh dan tempat yang sama.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Ketika ditanya Zainal mengapa Koh melakukan jenayah itu, Koh berkata beliau mempunyai minat terhadap senjata api.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Lee Keng Fatt manakala Koh diwakili peguam Hisham Teh Poh Tek. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan