Penganggur didakwa bunuh isteri dan cederakan anak

Diterbitkan: Khamis, 25 Jun 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KLANG: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh isterinya di belakang rumah jiran mereka di Taman Sri Andalas di sini, dua minggu lepas.

R.Devarase, 55, didakwa membunuh S.Lacheme, 47, di belakang rumah bernombor 17, Jalan Sri Damak 15, Taman Sri Andalas di sini, kira-kira pukul 9.30 pagi pada 11 Jun lepas.

Tertuduh yang ditangkap pada hari kejadian didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Devarase mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah, dan tiada pengakuan direkodkan.

Tertuduh yang buta sebelah mata kirinya juga didakwa sengaja menyebabkan kecederaan kepada anak perempuannya, D.Sharala, 23, menggunakan sebilah pisau di dalam rumah mereka di Jalan Sri Damak, Taman Sri Andalas, kira-kira pukul 9.15 pagi, hari yang sama.

Devarase bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tiga tahun atau denda atau sebat atau manamana dua daripada hukuman-hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Majistret Liew Horng Bin menetapkan 15 Julai depan untuk sebutan kes di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Elya Ezrin Mohd Roslan sementara tertuduh diwakil peguam Gerard Lazarus.

Akhbar sebelum ini melaporkan seorang surirumah meninggal dunia dipercayai ditikam bertubi-tubi oleh suaminya yang turut mencederakan dua anak perempuannya sebelum melarikan tiga lagi anaknya.

Kejadian yang turut disaksikan jiran wanita itu dipercayai berpunca daripada perselisihan faham.

Mayat Lacheme ditemui terbaring 20 meter dari pintu belakang rumahnya dengan kesan tikaman dan tetakan pada leher, perut, dada, belakang badan serta tangan. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan