Waran tangkap terhadap Ahli Parlimen Kapar jika terus elak sapina

Diterbitkan: Isnin, 22 Jun 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Mahkamah Koroner hari ini memberi amaran kepada Ahli Parlimen Kapar S. Manikavasagam bahawa waran tangkap akan dikeluarkan terhadapnya jika beliau terus mengelak sapina bagi memberi keterangan dalam prosiding inkues K. Sujatha.

Koroner Mohd Faizi Che Abu meminta Timbalan Pendakwa Raya Geethan Ram Vincent mengarahkan pengawai penyiasat kes supaya menyerahkan sekali lagi sapina kepada Manikavasagam sebelum hari ini bagi memaksanya menghadiri prosiding esok.

"Jika dia terus elak menerima sapina berkenaan maka mahkamah akan mengeluarkan waran tangkap esok," kata Faizi dalam prosiding inkues untuk menentukan punca sebenar kematian pelakon dan model Tamil itu pada 25 Jun 2007.

Terdahulu itu, Geethan memberitahu mahkamah bahawa pengawai penyiasat telah cuba menyampaikan sapina pada 17 Jun lalu tetapi Manikavasagam telah memaklumkan kepada pegawai itu supaya menemuinya pada waktu makan tengah hari di Parlimen pada hari berikutnya.

Bagaimanapun, pada hari berikut itu, Manikavasagam menghubungi pegawai itu dan memberitahu supaya menangguhkan prosiding inkues kerana dua peguamnya berada di luar negara, katanya.

Peguam Datuk K. Kumaraendran, yang mewakili Ketua Pegawai Eksekutif Maika Holdings, S. Vell Paari, mendesak mahkamah mengeluarkan waran tangkap itu.

"Adalah keterlaluan bagi Manikavasagam meletakkan syarat sama ada mahu memberi keterangan dan dia seharusnya perlu dipaksa ke mahkamah ini sejak dia telah membuat pelbagai dakwaan dalam kes ini.

"Dia seharusnya berada di sini dan memberi versi cerita beliau sejak dia telah membuat beberapa laporan polis terhadap anak guam saya," katanya.

Kumaraendran berkata demikian pada prosiding inkues kematian Sujatha, 28, di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, enam hari selepas dimasukkan kerana didakwa terminum racun parakuat.

Sementara itu, pegawai perubatan Dr K. Saravanan dari Jabatan Forensik hospital berkenaan memberitahu bahawa beliau telah mengarahkan seorang pembantu perubatan memberikan mayat Sujatha kepada waris pada 25 Jun, 2007, selepas diberitahu punca kematian telahpun dicatatkan dalam permit pengebumian.

Katanya pada biasaannya, bedah siasat tidak dijalankan dalam kes di mana punca kematian telah disahkan oleh doktor di wad dan pengawai penyiasat menerima atau berpuas hati dengan hasil penemuan doktor.

"Dalam kes Sujatha, mayat telah dilepaskan walaupun polis telah mengeluarkan Borang POL 63 untuk bedah siasat dan amalan ini tidak tertakluk kepada kes ini sahaja tetapi bagi semua kes di mana punca kematian telahpun disahkan," katanya.

Disoal lanjut oleh Geethan, Dr Saravanan menjelaskan bahawa oleh kerana kes Sujatha, Jabatan Forensik telah mematuhi Borang POL 63 dengan menjalankan bedah siasat.

Prosiding disambung esok. BERNAMA

iklan

Video

Isnin, 25 September 2017 2:24 PM

Bersama Abby Adalah Momen Indah - Memey

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Kolumnis

iklan

Iklan