Datuk Mohd. Nadzmi cerai isteri talak satu

Diterbitkan: Isnin, 22 Jun 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Pengerusi Proton Holdings Bhd, Datuk Mohd Nadzmi Salleh, hari ini melafazkan cerai talak satu terhadap isterinya Datin Nik Yasmin Nik M.F.Kamil di Mahkamah Rendah Syariah di sini.

Mohd Nadzmi, 54, yang juga Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dengan tenang melafazkan cerai terhadap Nik Yasmin di hadapan Hakim Syarie Kamarulzaman Ali dan disaksikan beberapa anggota keluarganya.

Pasangan itu memaklumkan kepada mahkamah bahawa mereka bersetuju untuk bercerai secara baik kerana tiada lagi persefahaman sejak beberapa bulan lepas.

Sejurus selepas itu, Kamarulzaman memerintahkan Nik Yasmin, 46, menjalani tempoh edah selama tiga kali suci bermula hari ini.

Mahkamah turut merekodkan perintah tambahan iaitu Mohd Nadzmi perlu membayar nafkah edah sebanyak RM3,000 sebulan dalam tempoh tiga bulan dan keduadua pihak juga bersetuju untuk tidak membuat sebarang tuntutan lain berhubung perceraian itu.

Kamarulzaman, dalam pada itu, memuji tindakan Mohd Nadzmi kerana menyelesaikan masalah rumah tangganya secara beradab iaitu melalui saluran mahkamah.

"Jangan serik untuk berkahwin lagi dan belajar daripada kesilapan untuk mewujudkan rumah tangga yang sempurna," katanya.

Terdahulu itu, peguam syarie Mohamad Nor Bahari, yang mewakili Mohd Nadzmi, memberitahu mahkamah bahawa pasangan itu tidak tinggal sebumbung sejak lebih sebulan lepas dan bersetuju untuk bercerai secara baik.

Mohd Nadzmi dan Nik Yasmin mendirikan rumah tangga pada 11 Jun 1987 dan telah dikurniakan enam orang anak. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan