KP Pelancongan: Hakim persoal tindakan pihak pendakwaan pinda kertas pertuduhan

Diterbitkan: Khamis, 18 Jun 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Hakim Mahkamah Sesyen di sini hari ini mempersoalkan tindakan pihak pendakwaan yang memohon meminda kertas pertuduhan rasuah yang dikenakan terhadap bekas Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Mirza Mohammad Taiyab.

Hakim Zainal Abidin Kamaruddin menyoal beberapa kali Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Hazmi Mohd Saad, mengapa kertas pertuduhan itu hendak dipinda hari ini sedangkan kes telah pun dibicarakan sejak Februari lalu.

Malah, tambah beliau, hari ini telah pun ditetapkan untuk mahkamah mendengar hujahan penggulungan di akhir kes pendakwaan.

"Mahkamah mempersoalkan tindakan pihak pendakwaan nak pinda pertuduhan, kenapa tidak dari awal kertas pertuduhan itu dibacakan, saya nak tahu sebab-sebab mengenai perkara itu, kerana sebelum ini pihak pendakwaan mempunyai lebih banyak peluang untuk melakukannya, kenapa baru sekarang?

"Jika dibawa kepada hakim yang lain pun mahkamah turut akan bertanya perkara yang sama, mesti ada sebabnya," kata Zainal. Saiful mengakui beliau sendiri tidak tahu dan tidak pasti mengapa kertas pertuduhan itu perlu dipinda.

"Saya bukanlah berniat untuk melengahkan kes ini tetapi pihak pendakwaan mendapati ada perkataan yang lebih sesuai digunakan dalam kertas pertuduhan itu," jelasnya.

Saiful berkata, kesalahan "menerima rasuah" di bawah seksyen 165 Kanun Keseksaan dalam kertas pertuduhan asal hendak dipinda kepada kesalahan "menyetuju terima rasuah" di bawah Akta Pencegahan Rasuah 1997 kerana ia lebih sesuai dan tepat mengikut pertuduhan yang dikenakan terhadap tertuduh.

Mengikut pertuduhan sebelum ini, Mirza didakwa menerima rasuah RM13,860 untuk menjalankan rawatan pergigian di Clinical Practise Prosthodontics Sdn Bhd, Taman Tun Dr Ismail, antara 17 Jan dan 26 Julai 2005.

Peguam bela Mirza, Saseedharan Menon bagaimanapun membantah cadangan Saiful atas alasan pihak pendakwaan tidak mempunyai sebab munasabah untuk membuat permohonan meminda tuduhan itu.

"Pihak kami tidak nampak alasan mengapa pihak pendakwaan perlu membuat pindaan itu memandangkan keduadua perkataan itu mempunyai makna yang sama dan tidak ada beza," katanya.

Zainal Abidin kemudian mengarahkan supaya pindaan itu dikaji semula oleh pihak pendakwaan supaya ia lebih jelas bagi membantu mahkamah sebelum sebarang keputusan dibuat dan menetapkan 10 Julai untuk mendengar hujahan bagi permohonan (pindaan) itu.

Mirza, mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke mahkamah itu pada 13 Ogos, 2008.

Pada 21 Mei lalu, pihak pendakwaan menutup kes itu dengan mengemukakan 10 saksi sepanjang perbicaraan yang dijalankan bermula Februari lalu. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan