Saksi: Dipukul dan hanya tidur dua jam sehari

Diterbitkan: Rabu, 17 Jun 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa tertuduh pertama kes pembunuhan anggota keluarga pada Hari Raya Aidilfitri tahun lepas, telah memukul kepala orang yang mendengar ceramahnya bagi membuang 'jin'.

Sofiyah Mohd Ibrahim, 22, yang merupakan anak mangsa dan sepupu kepada Muhammad Ilyas Abdul Razak, 23, (tertuduh pertama) berkata mereka dipukul menggunakan kayu penggaru.

Kejadian pukul yang berlaku beberapa hari sebelum pembunuhan kedua ibu bapanya itu turut melibatkan kedua ibu bapa Muhammad Ilyas dan beberapa adik beradiknya yang lain termasuk dua tertuduh lagi. Mereka juga mendengar ceramah itu.

Katanya, sepanjang empat hari mendengar ceramah, beliau dan beberapa anggota keluarga lain hanya dibenarkan tidur selama dua jam sahaja dan selebihnya, 22 jam terpaksa mendengar ceramah yang disampaikan Muhammad Ilyas.

Ketika ditanya peguam yang mewakili kesemua tertuduh Supramaniam Kasia Pillay, mengapa dia dan keluarganya sanggup mendengar ceramah Muhammad Ilyas dan tidak membantah, Sofiyah berkata :"Saya pun tak tahu kenapa ikut dia, yang saya tahu dengar ceramah saja. Saya tidak membantah. Adik beradik, ibu bapa, pak cik dan mak cik (ibu bapa Ilyas) pun tidak membantah. Dia tidak paksa, dia arahkan saja. Saya ikutlah."

Muhammad Ilyas dan Muhammad Fauzi Abdul Razak, 21, merupakan adik beradik dan sepupunya Muhammad Nizam Ibrahim (adik Sofiyah) didakwa bersamasama membunuh Mohd Ibrahim Kader Mydin, 48, dan Rosina SM Mydin Pillay, 42, di rumah No 57C, Blok A, Flat Seri Sarawak, Jalan Kenanga, di sini pada 1 Okt 2008 antara pukul 12 tengah hari dan 8 malam.

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati.

Sofiyah yang merupakan saksi ke-12 pendakwaan juga berkata ketika itu beliau hanya mengikut sahaja intipati ceramah yang disampaikan dan tidak tahu ia benar atau tidak, tetapi kini tidak percaya lagi.

Katanya ceramah yang diberikan berbentuk keagamaan dan ditanya Supramaniam adakah beliau mempercayainya kerana Muhammad Ilyas berpelajaran, Sofiyah berkata: "Dia tidak berapa arif sangat. Tapi dia selalu baca buku."

Di awal prosiding Sofiyah berkata sebelum kejadian beliau dan beberapa anggota keluarga keluar ke Jalan Masjid India untuk membeli barang kelengkapan hari raya atas arahan Muhammad Ilyas tetapi apabila sampai ke rumah, tertuduh pertama itu menyatakan ada barang yang tidak cukup.

Katanya Muhammad Ilyas memerintahkan supaya semua orang didenda dan Sofiyah adalah orang pertama.

Tidak lama kemudian, Sofiah berkata beliau telah ditumbuk di bahagian muka ketika berada di beranda oleh adiknya Muhammad Nizam setelah menerima arahan daripada Muhammad Ilyas yang duduk di ruang tamu.

Tambahnya semasa dipukul tiada seorangpun yang datang membantu dan sebelum itu beliau diingatkan Muhammad Nizam supaya bertahan ketika dipukul. Tanpa melawan beliau hanya duduk dan Muhammad Nizam berdiri sambil memukulnya.

Bagaimanapun beliau gagal mengingati jenis peralatan yang digunakan untuk memukulnya kerana pengsan.

Sementara itu sepanjang memberi keterangan Sofiyah, yang baru sahaja menamatkan pengajian di sebuah universiti tempatan kelihatan tenang ketika menceritakan kejadian yang berlaku malah sewaktu tayangan video mengenai keadaan kedua ibu bapanya yang parah dipertontonkan beliau tidak menunjukkan sebarang reaksi kesedihan.

Menurutnya rakaman ketigatiga lelaki yang sedang mengangkat ikrar sambil memegang gambar ketua kumpulan Al Arqam, Abuya Ashaari adalah ketigatiga tertuduh dan gambar itu sentiasa di gantung di dinding ruang tamu dalam rumah bapa saudaranya Abdul Razak Kader Mydin (bapa tertuduh pertama dan kedua).

Beliau turut mengesahkan bahawa terdapat suara yang memanggil 'Abuya' dan beberapa nama saudaranya yang lain sepanjang rakaman itu.

Bagaimanapun beliau tidak mengakui bahawa rakaman kelibat seorang wanita yang memakai telekung semasa kejadian adalah dirinya kerana tidak dapat mengingati apa yang berlaku dan gambar tidak jelas.

Ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Aidatul Azura Zainal Abidin sama ada hanya beliau yang dipanggil Sofea dalam keluarga itu, beliau menjawap : "Ya. Rakaman itu menunjukkan wanita bertelekung itu beberapa kali menampar muka mangsa dan sedaya upaya menekan dada mangsa serta turut sama menyebut "Mak, abuya suruh bangun."

Selain itu pada prosiding yang didengar di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Azman Abdullah, Sofiyah berkata lapan bulan sebelum kejadian Muhammad Ilyas ada dirawat secara perubatan tradisional tetapi beliau tidak tahu penyakit yang dihidapi sepupunya itu.

Tambahnya, Muhammad Ilyas yang pernah bekerja dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga berhenti kerja garagara menghidap penyakit yang tidak diketahuinya itu.

Perbicaraan yang masuk hari keempat ini akan disambung 10 Julai depan. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan