Aksi pembunuhan oleh pengikut Ashaari dipertontonkan di Mahkamah Tinggi

Diterbitkan: Jumaat, 12 Jun 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini semalam yang mendengar kes pembunuhan pada Aidilfitri lepas dipertontonkan aksi ganas dan tidak berperikemanusiaan seorang anak dan dua orang anak saudara mangsa yang dikatakan pengikut Al-Arqam, sebuah pertubuhan yang diharamkan.

Diibaratkan menonton filem kategori 18SG yang mempunyai unsur keganasan, beberapa orang lelaki dan wanita kelihatan tidak menghiraukan keadaan dua mangsa iaitu Mohd Ibrahim Kader Mydin, 48, dan Rosina SM Mydin Pillay, 42, (sepasang suami isteri) yang mengalami pendarahan teruk di kepala.

Menerusi rakaman video yang diambil dari telefon bimbit milik tertuduh ketiga, yang merupakan anak kepada pasangan itu, Muhammad Nizam Mohd Ibrahim, 19, mayat pasangan itu diletakkan bersebelahan dan tangan keduanya dirapatkan seolah-olah berpimpin.

Hampir kesemua yang berada di dalam mahkamah kelihatan menutup mulut dan sesekali berpaling ke arah lain apabila muncul beberapa tayangan keadaan dua mangsa yang mengalami kecederaan teruk di bahagian muka dan kepala mereka, mengeluarkan darah yang banyak.

Lebih menyayat hati apabila mendengar suara Rosina yang mengerang kesakitan dan jelas kelihatan darah mencurahcurah keluar dari bahagian hidung dan mukanya cedera teruk.

Klip video yang ditayangkan selama satu setengah jam itu merupakan sebahagian daripada 17 klip yang diambil oleh juruanalisis makmal forensik PDRM Cheras Inspektor Ameyruddin Ahmad Zuki, 28, yang dikemukakan sebagai barang bukti manakala terdapat 22 keping gambar yang juga diambil dari telefon bimbit yang sama.

Muhammad Ilyas Abdul Razak, 23, dan Muhammad Fauzi Abdul Razak, 21, merupakan adik beradik dan sepupunya Muhammad Nizam didakwa bersamasama membunuh Mohd Ibrahim dan Rosina, di rumah No 57C, Blok A, Flat Seri Sarawak, Jalan Kenanga, di sini pada 1 Okt 2008 antara pukul 12 tengah hari hingga 8 malam.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Bermula dari awal rakaman, hanya Rosina sahaja yang kelihatan masih hidup manakala Mohd Ibrahim tidak lagi kelihatan bergerak dan baju putih yang dipakai Mohd Ibrahim telah dibasahi dengan darah.

Sementara itu menerusi klip video pertama, dapat dilihat seorang lelaki sedang berbaring dan kedengaran satu suara yang menyuruh lelaki itu supaya tidur manakala klip kedua memaparkan pergerakan beberapa lelaki dan jelas kedengaran suara lelaki sedang berdoa.

Pada rakaman ketiga dan keempat barulah ditunjukkan keadaan Rosina yang terbaring dan kedengaran suaranya yang kesakitan. Ketika itu ada suara yang menyatakan "boleh hidup yang mati" dan "ini adalah air Abuya (sambil menuang ke dalam mulut Rosina).

Rakaman kelima pula menunjukkan keadaan persekitaran berhampiran dua mangsa dan dilihat banyak percikan darah pada bahagian dinding rumah dan peti sejuk dan diselang seli dengan keadaan mangsa dan kelakuan ketiga-tiga tertuduh yang mengangkat sumpah sambil memegang gambar pemimpin pertubuhan itu.

Ketika semua yang menonton serius mendengar dan menonton tibatiba timbul kenyataan lucu daripada Muhammad Ilyas yang menyebut nama Cik Siti Fatimah yang disebut sebagai anak pemimpin itu dan berkata "Saya akan jadi bakal suami anda, kita minta pada Tuhan seperti yang dikehendaki."

Ketika itu semua yang berada di mahkamah tersenyum seketika apatah lagi pada klip video keenam Muhammad Ilyas sempat merayu seolaholah meminta Cik Siti Fatimah yang dikatakannya itu menerimanya dan dia juga sempat melaungkan takbir dan memohon maaf pada orang di Pulau Pinang.

Klip video ketujuh masih memaparkan pengakuan ketaksuban tertuduh pertama dan kedua manakala pada klip kelapan kelihatan tertuduh ketiga membuat perakuan (juga memegang gambar pemimpin itu) yang menyatakan "sanggup berjuang kerana Allah dan Abuya Ashaari adalah benar, saya ingatkan pada semua bahawa ini benar."

Pada klip kesembilan hingga ke-13 tiada lagi kedengaran suara kesakitan Rosina dan ketika itu kedengaran suara lelaki menangis serta ada susuk tubuh yang meratap di hadapan mangsa.

Rakaman ke-14 hingga ke-16 menunjukkan bagaimana kelakuan beberapa lelaki (yang kelihatan termasuk tiga tertuduh) berusaha menghidupkan kedua-dua mangsa.

Klip video terakhir yang mengambil masa paling lama, iaitu kira-kira 20 minit memaparkan antara tindakan kejam beberapa lelaki.

Sepanjang rakaman ini dipertontonkan ketigatiga tertuduh yang berada di dalam kandang menundukkan muka ke lantai dan sesekali menyapu air mata dan berpandangan sesama sendiri.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Azman Abdullah disambung 17 Jun depan. Pendakwaan hari ini dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Anselm Charles Fernandis manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Supramaniam Kasia Pillay. BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 17 Ogos 2017 12:30 PM

Erma Reda, Jatuh Talak Satu

Khamis, 17 Ogos 2017 9:00 AM

Wak Doyok Kini Bintang Filem

Rabu, 16 Ogos 2017 3:59 PM

Bahaya Tu Abang Oii...

Rabu, 16 Ogos 2017 12:30 PM

“Senyum Je Pada Haters” - Farisha Irish

Selasa, 15 Ogos 2017 3:28 PM

Raysha Rizrose Pemalu, Bukan Sombong!

Selasa, 15 Ogos 2017 11:59 AM

Keluarga 'Control' Hidup Neera Azizi?

Selasa, 15 Ogos 2017 9:00 AM

Abang Long Fadil 2 Telan Belanja RM 3.2 Juta

Isnin, 14 Ogos 2017 12:30 PM

“Mira Filzah Lemah Lembut” - Zizan Razak

Kolumnis

iklan

Iklan