Majikan direman lima hari bantu siasatan kes dera amah

Diterbitkan: Selasa, 9 Jun 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret di sini hari ini membenarkan reman selama lima hari bermula hari ini terhadap seorang wanita berusia 43 tahun bagi membantu siasatan polis berhubung kes seorang majikan mendera amahnya di Lanai Kiara Kondominium, Mount Kiara semalam.

Perintah reman terhadap ibu tunggal kepada dua anak itu dikeluarkan oleh Majistret Hafiza Sauni pada 10 pagi.

Wanita itu disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan didenda dan sebatan jika sabit kesalahan.

Mangsa yang dikenali sebagai Siti Hajar, 33, berasal dari Jawa Barat didera oleh majikan dengan memukulnya menggunakan objek keras, disiram dengan air panas serta diberi makan nasi tanpa lauk.

Dia turut diberi makan nasi berlaukkan daging babi.

Mangsa bekerja dengan majikannya itu sejak 2 Julai 2006.

Sementara itu, Pegawai Kedutaan Indonesia ketika dihubungi Bernama hari ini berkata Siti Hajar masih menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

"Buat masa ini Siti Hajar belum dibenarkan pulang kerana masih memerlukan rawatan bagi merawat luka-luka di badannya akibat dicederakan majikan. Kami juga sedang menunggu laporan perubatan mangsa bagi mengetahui kondisi (keadaan) sebenar mangsa," katanya.

Katanya pihak kedutaan juga telah memaklumkan mengenai kejadian itu kepada keluarga Siti Hajar melalui telefon malam semalam.

"Malam semalam kita telah menghubungi keluarganya di Garut, Barat Jawa, Indonesia dan pagi tadi ketika pihak kedutaan melawat Siti Hajar, dia juga berkesempatan bercakap dengan ahli keluarganya melalui telefon.

"Ahli keluarga Siti Hajar turut meminta agar kes terbabit dapat diselesaikan dengan kadar segera dan dengan cara yang terbaik," katanya. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan