Kerajaan diperintah bayar dua lelaki cedera dalam insiden tembak 1983

Diterbitkan: Jumaat, 5 Jun 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Selepas 24 tahun, seorang kontraktor dan seorang mekanik, yang terlibat dalam insiden tembak di Plaza Tol Sungai Besi pada 1983, kini boleh menarik nafas lega apabila mereka diberikan ganti rugi RM141,030 untuk ganti rugi am dan khas kerana kecederaan berikutan kecuaian polis.

Mahkamah Tinggi hari ini memerintahkan agar Ngan Chong Meng, 44, diberikan sebanyak RM50,000 untuk ganti rugi am dan RM10,500 untuk ganti rugi khas dan Ngui Pau Keong, 47, diberikan RM75,000 (ganti rugi am) dan RM5,530 (ganti rugi khas), bagi kecederaan yang ditanggung mereka.

Penolong Kanan Pendaftar Shazali Datuk Hidayat Shariff memerintahkan faedah sebanyak empat peratus setahun dari tarikh penyampaian saman sehingga keputusan Mahkamah Rayuan untuk ganti rugi am dan ganti rugi khas dan faedah sebanyak lapan peratus dari tarikh keputusan hari ini sehingga pembayaran diberikan kepada Ngan dan Ngui.

Ngan dan Ngui merupakan antara empat lelaki di dalam sebuah kereta yang ditembak polis yang mengesyaki mereka sebagai penculik bersenjata, dalam kejadian 3.30 petang pada 24 Mac, 1983.

Keempat-empat mereka, yang sedang dalam perjalanan ke Singapura, telah ditangkap dan direman dua minggu, tetapi tidak didakwa atas sebarang kesalahan dan dibebaskan.

Berikutan kejadian itu, keempatempat mereka memfailkan saman cuai terhadap ASP Ramli Yusuf (yang kini bergelar Datuk dan bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman) dan kerajaan.

Shazali membuat keputusan itu dalam kamarnya selepas mendapati Ngan dan Ngui yang cedera dalam insiden itu berhak mendapat ganti rugi itu selepas kehilangan pendapatan selama beberapa tahun kerana cedera.

Bagaimanapun tidak memberikan sebarang ganti rugi kepada dua lagi plaintif iaitu pembantu kedai, Lim Chye Thiam, 46, dan mekanik, Chai Chit Moey, 44, yang tidak mengalami sebarang kecederaan dalam insiden itu kerana mereka masih boleh bekerja selepas kejadian itu.

Keempat-empat lelaki itu yang diwakili peguam Karpal Singh dan Nicholas Netto, hadir di mahkamah.

Karpal memberitahu media bahawa pihaknya akan memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan ganti rugi itu.

Pada 14 November 2007, Mahkamah Rayuan memerintahkan supaya kes saman itu dirujuk ke Mahkamah Tinggi untuk taksiran ganti rugi kepada empat lelaki itu setelah membenarkan rayuan mereka terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak saman cuai mereka pada 25 Mac 1997.

Mahkamah Rayuan juga memutuskan bahawa kerajaan dan polis perlu membayar ganti rugi kepada keempat-empat lelaki itu kerana didapati cuai dalam insiden menembak berkenaan. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan