Syarikat saman Lembaga Pelabuhan Klang hampir RM148 juta

Diterbitkan: Khamis, 4 Jun 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Sebuah syarikat memfailkan saman terhadap Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) kerana gagal melunaskan hampir RM148 juta bagi bayaran khidmat nasihat kepadanya berkaitan projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

MegaWan Corporate Services Sdn Bhd telah memfailkan saman itu di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil di sini melalui Tetuan Nik Saghir & Ismail, Isnin lepas.

Pernyataan tuntutan itu diserahkan kepada LPK hari ini dan salinan telah diberikan kepada media.

MegaWan menuntut supaya LPK menjelaskan bayaran sebanyak RM147,857,886, faedah pada kadar lapan peratus daripada tamatnya tarikh invois yang dihantar MegaWan kepada LPK pada 12 Sept 2008, kos dan relif-relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Dalam pernyataan tuntutannya, MegaWan mendakwa LPK telah melantik syarikat itu untuk menjadi penasihat korporat bagi membekalkan khidmat nasihat korporat kepadanya dan anak-anak syarikatnya melalui surat perlantikan bertarikh 15 Jan 2006.

Syarikat itu mendakwa telah memberikan khidmat nasihat kepada LPK bermula Dis 2005 dan telah menghantar surat beberapa kali kepada LPK untuk menuntut pembayaran, namun sehingga sekarang tiada bayaran dibuat.

Melalui surat perlantikan itu, MegaWan selain dipertanggungjawab memberi nasihat korporat kepada LPK dan anak syarikatnya, ia juga memberi nasihat dan menjalankan khidmat penstrukturan semula kewangan LPK untuk memudahkan rayuan ke atas syarat-syarat pinjaman daripada Kementerian Kewangan sebanyak RM4.632 bilion bagi projek PKFZ untuk kos pembelian tanah dan kos pembangunan infrastruktur PKFZ. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan