Pengurus kelab malam didakwa minta rasuah daripada suri rumah

Diterbitkan: Rabu, 3 Jun 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Seorang pengurus kelab malam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua tuduhan meminta dan menerima rasuah dari seorang suri rumah kononnya untuk diberikan kepada seorang pegawai kanan polis kira-kira empat tahun lepas.

Leow Choon Keong, 33, didakwa meminta suapan sebanyak RM20,000 daripada Lai Yee Lheng, kononnya untuk diserahkan kepada Timbalan Ketua Polis Petaling Jaya ketika itu Supt Abdul Rahman Ibrahim.

Menurut kertas pertuduhan, suapan itu adalah sebagai dorongan kepada Abdul Rahman yang kini bertugas di Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia, Bukit Aman, supaya membebaskan Chong Chee Boon iaitu suami kepada Lai daripada tahanan polis atas kesalahan mengedar dadah.

Leow didakwa melakukan kesalahan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya pada bulan Oktober 2005.

Bagi pertuduhan kedua pada masa (bulan) dan tempat yang sama, dia didakwa secara rasuah menerima suapan RM12,000 daripada Lai, melalui Shim Yim Huat iaitu pakcik kepada Lai untuk tujuan yang sama.

Bagi kedua-dua kesalahan itu, Leow didakwa mengikut Seksyen 10(aa) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ng Siew Wee memohon agar mahkamah mengenakan ikat jamin sebanyak RM10,000 terhadap Leow bagi kedua-dua pertuduhan.

Bagaimanapun, Leow yang tidak diwakili peguam memohon agar mahkamah mengenakan ikat jamin yang rendah kerana anak dan ibunya kini sakit.

Hakim Aslam Zainudin kemudian menetapkan ikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 8 Julai untuk sebutan semula kes.BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan