Tidak serah pistol pada polis: Penyelia dipenjara 16 bulan

Diterbitkan: Rabu, 27 Mei 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Akibat tidak menyerahkan kepada polis pistol dan sembilan butir peluru yang dijumpainya sewaktu menyelamatkan seorang lelaki yang cedera dalam satu kemalangan, seorang Penyelia Makanan dijatuhi hukuman 16 bulan penjara oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini. Hakim Zainal Abidin Kamarudin menjatuhkan hukuman tersebut setelah Yap Yong Yee, 29, mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan iaitu memiliki sepucuk pistol dan sembilan butir peluru kirakira setahun lalu. Zainal Abidin menetapkan hukuman terhadap keduadua pertuduhan tersebut berjalan serentak dari tarikh dia ditangkap iaitu 23 Feb 2008. Yap atau nama Islamnya Mohd Razif Yap Abdullah didakwa memiliki sepucuk pistol jenis Glock 19 Austria tanpa lesen atau permit yang sah di Batu 3, Jalan Ipoh, Sentul pada pukul 3.45 pagi, 23 Feb 2008. Bagi pertuduhan kedua di tempat dan masa yang sama Yap yang juga merupakan anak seorang pegawai kanan polis didakwa memiliki sembilan butir peluru tanpa lesen atau permit yang sah.

Bagi kedua-dua kesalahan tersebut, dia didakwa di bawah Seksyen 8 (a) Akta senjata 1960 jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda RM10,000 atau keduaduanya sekali. Terdahulu peguambela S.Saravanan yang mewakili Yap dalam rayuannya memohon agar mahkamah mengenakan hukuman yang ringan terhadap Yap, kerana anak guamnya itu tidak pernah menggunakan senjata yang dijumpainya (Yap) itu.

Beliau berkata sewaktu menyelamatkan seorang lelaki yang kemalangan dalam satu kemalangan jalanraya, anak guamnya telah menjumpai secara tidak sengaja sepucuk pistol dan sembilan butir peluru.

"Bimbang akan keselamatannya akan dicederakan oleh lelaki yang tidak dikenalinya (yang diselamatkan) itu, Yap telah mengambil pistol tersebut dan menyimpannya dengan tujuan untuk diserahkan kepada polis," katanya. Bagaimanapun hasrat Yap menjadi terbantut setelah membaca laporan akhbar pada hari berikutnya bahawa lelaki yang dibantunya sebenarnya seorang anggota polis dan telah disamun sewaktu kejadian (kemalangan)," kata Saravanan lagi.

Beliau berkata, Yap kemudian (setelah baca akhbar) percaya jika dia menyerahkan pistol itu kepada pihak berkuasa, polis tidak mempercayai apa yang diceritakannya, sebaliknya beliau akan dituduh menyamun dan mencederakan anggota polis berkenaan.

"Anak guam saya yang tidak arif mengenai undangundang berasa amat bingung dan mentalnya tertekan, beliau bimbang akan ditangkap polis sekiranya menyerahkan pistol itu kepada polis," katanya. "Dia juga bercadang memberitahu bapanya yang merupakan seorang pegawai kanan polis, tetapi berasa risau akan dimarahi oleh bapanya atas kejahilan beliau itu," kata Saravanan.

Yap ketika ditanya oleh Zainal Abidin mengapa selama dua bulan dia menyimpan pistol dan sembilan butir peluru tersebut dan tidak menyerahkanya kepada pihak polis berkata dia berbuat demikian setelah mendapat nasihat dari rakannya. "Saya ada dapatkan nasihat pada rakan saya dan dia beritahu sekarang (ketika itu) tengah panas, elok serahkan sahaja kepada polis bila dah lama sikit," katanya sambil tersedu-sedan.

Zainal Abidin kemudian menasihati Yap supaya menjadikan kesilapanya itu sebagai satu pengajaran dan tidak mengulangi perbuatan tersebut lagi. "Awak dah buat silap, so awak jadikanlah ia satu pengajaran dan motivasi supaya menjadi lebih baik pada masa akan datang, janganlah pula jadikan ia sebab untuk terus membuat kesalahan," kata Zainal Abidin. "Ingat ni, keluarga sebenarnya penting bagi kita, tanpa keluarga siapalah kita, bila kita seorang, takde keluarga inilah jadinya, akan dapat nasihat yang tidak berguna," jelas Zainal Abidin. Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nor Aizam Aiza Zamran. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan