Mahkamah Persekutuan tangguh keputusan TNB

Diterbitkan: Rabu, 27 Mei 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini hari ini menangguhkan keputusannya ke satu tarikh yang akan ditetapkan berhubung rayuan Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengenai pemberian perintah injunksi kepada sekumpulan penduduk kampung di Rawang untuk menghalang TNB daripada membina talian pemancar 275kV melalui kampung mereka.

Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum dan dua Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri S. Augustine Paul dan Datuk James Foong menangguhkan penghakiman mereka selepas mendengar hujahan peguam yang mewakili TNB Datuk Dr Cyrus Das dan peguam Malik Imtiaz Sarwar yang mewakili 23 penduduk Kampung Baru Kampung Sungai Terentang.

Pada 21 Jan lepas, Mahkamah Rayuan membuat keputusan yang memihak kepada penduduk berkenaan dan memberikan perintah injunksi kepada mereka untuk menghalang TNB daripada membina talian pemancar melalui kampung itu.

Mahkamah itu juga membenarkan rayuan penduduk untuk memansuhkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 7 Dis, 2007, yang menolak permohonan mereka bagi semakan penghakiman terhadap keputusan TNB untuk memasuki tanah yang didiami penduduk mengikut Seksyen 13, Akta Bekalan Elektrik untuk menjalankan kerja naik taraf talian pemancar di tanah itu.

Penduduk terbabit membantah kerana mereka bimbang dengan bahaya terdedah kepada kabel voltan tinggi kerana ia boleh menyebabkan kanser dan leukaemia.

Das berhujah TNB berhak menjalankan kerja naik taraf terhadap talian pemancar 33kV kepada 275 kV mengikut Seksyen 13.

Katanya perkataan "naik taraf" mengikut Seksyen 13 meliputi kerja naik taraf kabel dan struktur yang menampung kabel itu yang merupakan komponen bagi pemasangan kabel elektrik.

"Oleh itu, perkataan "naik taraf" mengikut Seksyen 13 boleh membawa maksud penambahbaikan termasuk penggantian komponen pada kabel elektrik di tanah berkenaan," hujah Das.

Katanya Mahkamah Rayuan terkhilaf apabila memutuskan kerja naik taraf itu hanya terhad kepada kerja mengetatkan skrew dan mengecat semula tiang.

Das berkata kerja naik taraf itu penting berikutan peningkatkan permintaan terhadap bekalan tenaga di Lembah Klang dan bahawa kirakira 200,000 pelanggan secara tidak langsung akan mendapat faedah daripada projek itu.

Malik Imtiaz, bagaimanapun berhujah kerja yang mahu dilaksanakan oleh TNB itu ialah pembinaan talian pemancar baru dan bukannya kerja naik taraf. BERNAMA

iklan

Video

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 10:55 PM

Abam Bocey Malu Manja Dengan Isteri Depan Kamera

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Khamis, 7 Disember 2017 8:00 PM

Nadzmi Adhwa Dikurung Selepas Kantoi Dadah

Rabu, 6 Disember 2017 2:00 PM

"Makin Ramai Nak Taja Saya" - Wany Hasrita

Kolumnis

iklan

Iklan