SIS mohon semakan kehakiman atas pengharaman buku

Diterbitkan: Khamis, 21 Mei 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan & Kuasakuasa Khas) hari ini mendengar permohonan Sister In Islam (SIS) Forum (Malaysia) untuk mendapatkan kebenaran membuat semakan kehakiman berhubung pengharaman buku berjudul 'Muslim Women and the Challenge of Islamic Extremism' sejak 2008.

Peguam Malik Imtiaz Sarwar yang mewakili SIS berhujah bahawa mahkamah perlu memansuhkan perintah Menteri Dalam Negeri itu dan menarik balik pengharaman ke atas buku itu yang diterbitkan pada 2005.

Katanya pengharaman oleh menteri ketika itu Datuk Seri Syed Hamid Albar adalah tidak sah kerana ia ultra vires (melampaui batasan undangundang) di bawah akta percetakan dan penerbitan 1984 dan melanggar artikel 8(2), artikel 10(1)(a) serta artikel 11(4) Perlembagaan Persekutuan.

SIS memfailkan permohonan itu pada 15 Dis tahun lepas dengan menamakan Syed Hamid sebagai reponden.

"Buku itu tidak mengancam ketenteraman awam kerana ia satu koleksi karya akademik mengenai peranan wanita dalam masyarakat Islam yang telah berada dalam edaran selama tiga tahun sebelum pengharaman, yang demikian ia bertentangan dengan hak pemohon di bawah artikel 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan mengenai kebebasan bersuara," ujar beliau.

Peguam Kanan Persekutuan Noorhisham Ismail yang mewakili responden memohon penangguhan untuk membuat hujahan balas.

Pesuruhjaya Kehakiman Tuan Mohamad Ariff Md Yusof menetapkan 24 Jun untuk menyambung perbicaraan itu. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan