Pemilik kedai gunting dijatuhi hukuman gantung

Diterbitkan: Khamis, 21 Mei 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang pemilik kedai gunting dan dua lagi rakannya dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini setelah didapati bersalah mengedar dadah jenis Kanabis seberat 38.7kg kira-kira 10 tahun lalu.

Hakim Datuk Muhamad Ideres Muhamad Rapee menjatuhkan hukuman itu setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan yang munasabah.

Dalam penghakimannya di akhir pembelaan, Muhamad Ideres berkata ketiga-tiga tertuduh iaitu Sia Sew Ben, 47, yang merupakan pemilik kedai gunting, Ng Thiam Kok, 43, dan Ispangat Misrum, 43, disabitkan dengan kesalahan itu.

Sejurus mendengar hukuman itu beberapa orang daripada anggota keluarga tertuduh yang duduk di galeri awam dilihat bergenangan air mata, lalu keluar daripada mahkamah.

Malah sebaik selesai prosiding mahkamah, Ng dilihat memarahi peguamnya, Azmi Juewani.

Ketiga-tiga mereka didakwa mengedar dadah jenis Kanabis iaitu seberat 38,723.5 gram di tempat letak kereta Mint Hotel, KM 8, Lebuh Raya Kuala Lumpur Seremban, Petaling Jaya pada pukul 8.45 malam, 21 Jun 1999.

Bagi kesalahan itu mereka didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Sepanjang kes itu dijalankan sebanyak 21 saksi pendakwaan dan empat saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin manakala Sia diwakili peguam bela Goh Kim Lian dan Ispangat Misrum diwakili peguam bela S. Bala. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan