Penganggur mengaku tidak bersalah sebabkan kematian wanita mengandung

Diterbitkan: Rabu, 20 Mei 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BATU PAHAT: Seorang penganggur berusia 26 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menyebabkan kematian dan kecederaan terhadap seorang wanita mengandung, Jamilah Selamat dalam kejadian rompak awal bulan ini.

Mohamad Ariffin Anang dari Taman Flora, di sini dituduh mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian Jamilah dalam kejadian pada 7.15 malam, 3 Mei lepas di Jalan Kaloi, Air Hitam.

Tertuduh yang kelihatan tenang sepanjang tempoh prosiding turut dituduh menurut Seksyen 394 kanun yang sama kerana menyebabkan kecederaan kepada mangsa ketika merompak dalam kejadian yang sama.

Dalam kejadian kira-kira 7.30 malam, Jamilah, 31, seorang jurujual kedai kraftangan di Air Hitam, dirompak ketika sedang menunggang motosikal bersendirian ke rumahnya di Taman Air Hitam, yang terletak hanya 70 meter dari tempat kejadian.

Pendakwaan kes itu dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Persekutuan Azeezi Nordin di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Indra Nehru Sabandiah dalam mahkamah yang penuh sesak dengan anggota keluarga tertuduh.

Hakim memerintahkan tertuduh yang tidak dibenarkan ikat jamin supaya melantik peguam untuk mewakilinya pada sebutan semula kes di mahkamah yang sama pada 13 Julai depan.

Jika disabit kesalahan mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan, tertuduh boleh dihukum penjara 30 tahun serta denda dan hukuman penjara 20 tahun serta sebatan jika didapati bersalah menurut Seksyen 394 kanun yang sama. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan