Bekas Ketua Pengarah Felcra kekal bebas tuduhan pecah amanah RM40 juta

Diterbitkan: Jumaat, 15 Mei 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Setelah hampir 10 tahun menghadapi tuduhan melakukan pecah amanah sebanyak RM40 juta milik Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra), bekas ketua pengarahnya hari ini tergamam dan hanya mampu bersyukur setelah Mahkamah Tinggi di sini mengekalkan perintah Mahkamah Sesyen yang membebaskannya daripada tuduhan itu.

"Tiada perkataan (untuk menggambarkan perasaan saya hari ini) syukur alhamdulillah," luah Datuk Mustapa Juman, 63, yang kelihatan sebak kepada pemberita, sambil menadah keduadua belah tangannya.

Suasana dalam mahkamah hari ini juga diselubungi kesedihan apabila Mustapa menangis dan terus memeluk serta mencium pipi peguam belanya Mohd Fozi Md Zain sejurus Hakim Datuk Ghazali Cha menolak rayuan pendakwaan dan mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen pada 2006 yang melepaskan dan membebaskannya daripada tiga tuduhan melakukan pecah amanah.

"Setelah meneliti penghakiman hakim bicara, saya berpuas hati bahawa tiada kekhilafan atau penemuan fakta yang salah dan yang bertentangan dengan keterangan yang diberikan.

"Oleh itu rayuan pendakwaan ditolak dan perintah pelepasan dikekalkan," kata Hakim Ghazali.

Pada 3 Dis, 1999, Mustapa mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas tiga tuduhan melakukan pecah amanah terhadap wang Felcra berjumlah RM40 juta di Pejabat Felcra, Tingkat 3, Bangunan Lembaga Tabung Angkatan Tentera, Jalan Bukit Bintang di sini pada 6, 7 dan 9 Mei, 1997.

Dia didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda jika disabitkan kesalahan.

Pada 30 Mac, 2006, Hakim Mahkamah Sesyen Nursinah Adzmi memerintahkan Mustapa dilepaskan dan dibebaskan daripada tuduhan itu setelah mendapati keterangan pembelaannya telah berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.

Pihak pendakwaan yang tidak berpuas hati, merayu terhadap keputusan itu atas alasan pembelaan responden adalah lemah dan sengaja dirancang selepas pendakwaan berjaya membuktikan kes mereka.

Terdahulu pihak pendakwaan berhujah terdapat keterangan keadaan yang menunjukkan responden adalah perancang yang terlibat dalam pengeluaran cek sebanyak RM40 juta dari akaun Felcra.

Mohd Fozi pula berhujah pihak pendakwaan telah gagal membuktikan bahawa responden melakukan kesalahan itu, malah tambahnya, keterangan tiga saksi pendakwaan yang dipanggil adalah tidak benar kerana mereka mempunyai motif untuk melepaskan diri daripada tuduhan itu.

Hakim Ghazali, dalam keputusannya hari ini berkata responden tidak terlibat dalam transaksi pengeluaran cek dan tidak menandatangani cekcek berjumlah RM40 juta yang dikeluarkan dari akaun Felcra.

"Saksi ke-34 pendakwaan Pengarah Kewangan Felcra Zainuddin Ahmad telah memberi keterangan dan mengatakan bahawa tertuduh telah menemuinya pada 6 Mei, 1997 dan mengarahkannya supaya mengeluarkan wang sebanyak RM40 juta dari akaun Felcra untuk dilaburkan.

"Responden menafikan ada bertemu dengan saksi ini dan memberi arahan itu kerana pada tarikh tersebut responden bertolak ke Langkawi dengan menaiki kapal terbang dan keterangan ini disokong saksisaksi pembelaan," kata hakim itu yang berpendapat pembelaan tertuduh dalam kes ini bukanlah sengaja dirancang dan berbentuk penafian semata-mata.

"Saya setuju bahawa saksi ketiga pendakwaan iaitu Pengurus Besar Penerokapeneroka Felcra (KPFB) Holdings Bhd Mohd Dzaki Mohd Rejab, Pengerusi KPFB Holdings Kamaruzaman Abdul Majid dan Zainuddin adalah rakanrakan sejenayah yang telah memberi keterangan dengan motif untuk melepaskan diri dari dikenakan tindakan undang-undang," kata Hakim Ghazali.

Pendakwaan kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Abdul Razak Musa. BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan