Selepas 10 tahun bekas Exco Saidin bebas tuduhan rasuah

Diterbitkan: Isnin, 27 April 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BEBAS...  Bekas ADUN Paya Jaras, Datuk Saidin Thamby (kiri) di luar Mahkamah Tinggi di sini hari ini. Saidin dilepaskan dan dibebaskan daripada sabitan serta hukuman yang dikenakan terhadapnya pada 2002 atas kesalahan menerima rasuah. --fotoBERNAMA
BEBAS... Bekas ADUN Paya Jaras, Datuk Saidin Thamby (kiri) di luar Mahkamah Tinggi di sini hari ini. Saidin dilepaskan dan dibebaskan daripada sabitan serta hukuman yang dikenakan terhadapnya pada 2002 atas kesalahan menerima rasuah. --fotoBERNAMA

SHAH ALAM: Setelah menunggu hampir 10 tahun, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Paya Jaras Datuk Saidin Thamby hari ini bersyukur apabila Mahkamah Tinggi di sini melepaskan dan membebaskannya daripada sabitan dan hukuman kerana kesalahan menerima rasuah.

Hakim Datuk Su Geok Yiam membenarkan rayuan Saidin, 72, yang juga bekas Exco kerajaan negeri Selangor dengan mengenepikan sabitan dan hukuman penjara setahun dan denda RM10,000 atau enam bulan penjara serta penalti sebanyak RM1 juta yang dikenakan terhadapnya oleh Mahkamah Sesyen di sini pada 1 0gos 2002.

Mahkamah turut menolak rayuan silang yang difailkan oleh pihak pendakwaan pada 5 Ogos 2002, berhubung hukuman penjara setahun yang dijatuhkan ke atas Saidin oleh Mahkamah Sesyen itu.

Sejurus selepas prosiding mahkamah berakhir, Saidin dilihat mengalirkan air mata kegembiraan sambil memeluk anggota keluarganya yang turut terharu dengan pembebasan beliau.

Saidin merayu terhadap keputusan Mahkamah Sesyen di sini pada 1 Ogos 2002 yang mengenakan hukuman penjara setahun dan denda RM10,000 atau penjara enam bulan setelah didapati bersalah menerima rasuah RM1 juta daripada syarikat Nusantara Network Sdn Bhd pada 1997.

Hakim Mahkamah Sesyen yang mendengar perbicaraan kes itu, Suraya Othman turut memerintahkan supaya Saidin membayar penalti sebanyak RM1 juta kepada kerajaan persekutuan.

Saidin dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada 15 September 1999 terhadap pertuduhan menerima rasuah RM1 juta daripada pengerusi syarikat Nusantara Network Sdn Bhd Datuk Dr. Hanifah Nordin sebagai upah bagi membantu syarikat berkenaan mendapatkan kelulusan Exco Kerajaan Negeri Selangor supaya diberikan sekeping tanah kerajaan di Lot 4287, Seksyen 1, Pekan Batu Caves, Gombak untuk dimajukan. Permohonan itu diluluskan oleh pada 4 Oktober 1995.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di rumah No 2, Jalan Selaseh 4, Taman Selaseh, Batu Caves pada tengah malam 15 Mac 1997. Hakim Suraya bagaimanapun membenarkan permohonan Saidin untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara, denda dan juga pembayaran penalti sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.

Pada masa yang sama, pihak pendakwaan membuat rayuan silang berhubung hukuman penjara setahun yang dijatuhkan oleh Suraya.

Saidin sebelum itu dibebaskan dengan jaminan RM150,000 sementara menunggu rayuan.

Peguam Kanan Persekutuan dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Abdul Razak Musa hadir bagi pihak responden sementara Saidin diwakili peguam Datuk Muhammad Shafee Abdullah.

Ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, Saidin berkata beliau sangat bersyukur kerana setelah menunggu hampir 10 tahun, akhirnya beliau dibebaskan daripada tuduhan itu.

"God is great (Allah Maha Berkuasa). Saya lega setelah menunggu lama akhirnya nama saya sudah bersih," katanya sambil mengesat air mata. BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Selasa, 14 November 2017 9:00 AM

“Penat..Tapi Best!” - Nad Zainal

Kolumnis

iklan

Iklan