FOMCA sambut baik keputusan mahkamah berhubung keselamatan parkir kenderaan

Diterbitkan: Sabtu, 25 April 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) hari ini menyambut baik keputusan mahkamah yang menetapkan bahawa pengusaha parkir kenderaan bertanggungjawab di atas kehilangan barangan daripada kenderaan yang diletakkan di tempat parkir di bawah jagaan mereka walaupun ada papan tanda bahawa pemilik berbuat demikian atas risiko sendiri.

Setiausaha Agungnya, Muhammad Shaani Abdullah menyifatkan kes itu sebagai "keputusan bersejarah" dan berharap pengusaha parkir yang lain akan mengambil perhatian dengan menyediakan langkah keselamatan yang lebih baik.

"Pendirian kami ialah selagi pengguna membayar bagi setiap perkhidmatan, mereka menjangka untuk mendapat manfaat tertentu," katanya kepada Bernama.

Semalam, Mahkamah Majistret Georgetown, Pulau Pinang memerintahkan pengusaha parkir membayar RM1,668 kepada seorang peguam sebagai kos atas kehilangan barangan di dalam kenderaan yang diletakkan di kawasan lot parkir walaupun ada papan tanda "parkir atas risiko sendiri".

Muhammad berharap pengusaha parkir akan melengkapkan premis mereka dengan televisyen litar tertutup (CCTV) dan meletakkan seorang pengawal keselamatan bagi menjamin keselamatan kenderaan di bawah jagaan mereka.

Mengenai isu tanda yang memaparkan "dijual jika pecah" yang biasa didapati di kedaikedai menjual barangan kaca, Muhammad berkata, papan tanda seperti itu tidak dapat diterima kerana ia tidak adil kepada para pengguna.

"Kadang kala barangan itu dipamerkan di tempat yang agak menonjol dan ia akan mudah terjatuh.

"Dalam keadaan tertentu, adalah tidak adil untuk meminta pengguna membayarnya apabila ia sebenarnya merupakan kesalahan pemilik kedai," katanya.

Beliau berharap mahkamah akan membuat keputusan berhubung tindakan memperagakan barangan sedemikian rupa. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan