Saiful akan saman lebih ramai penulis laman blog

Diterbitkan: Khamis, 23 April 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Mohd. Saiful Bukhari Azlan, berkata dia akan menyaman beberapa penulis laman blog yang menyiarkan artikel yang memfitnah dan berniat jahat terhadapnya.

"Kami menunggu masa yang sesuai untuk itu (tindakan saman).Banyak lagi saman-saman akan menyusul selepas ini.

"Terlalu banyak tohmahan dan pembohongan besar yang dilemparkan kepada ke atas saya. Setakat ini kami hanya bersabar kerana kami merancang pelbagai tindakan yang akan diambil," katanya.

Bagaimanapun, Saiful berkata saman itu akan difailkan selepas perbicaraan kes liwatnya selesai.

Jelasnya, saman terhadap penulis laman blog lain tidak dapat dilakukan sekarang kerana ia menyentuh mengenai kes kejadian liwat yang akan dibicarakan Jun depan.

"Saya tak dapat lakukan sekarang kerana tak mahu menggangu perbicaraan.Kebanyakan artikel yang disiarkan menyentuh mengenai kejadian pada 26 Jun tahun lalu," katanya.

Saiful mendakwa dirinya telah diliwat oleh Anwar yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Ketua Umum Pakatan Rakyat.

Kes itu telah dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Mahkamah Tinggi telah menetapkan 1 hingga 24 Julai untuk perbicaraan dakwaan kes liwat tersebut.

Hari ini Saiful memfailkan writ saman terhadap penulis laman blog Pahangdaily.blogspot.com kerana artikel-artikel yang menuduh dirinya terlantar sakit tenat ekoran sumpah laknat yang dibuatnya tahun lalu.

Dalam writ saman tersebut, Saiful mengemukakan tuntutan ganti rugi am sebanyak RM2juta daripada penulis blog berkenaan kerana memfitnahnya.

Pada 3 Mac lalu, Saiful membuat laporan polis terhadap blog berkenaan yang didakwa mengeluarkan enam artikel berunsur memfitnah dan berniat jahat terhadapnya.

Blog itu mendakwa Saiful menderita akibat kemaluannya bernanah dan sukar untuk membuang air kecil dan besar selepas melakukan sumpah laknat atau mubahalah di Masjid Wilayah Persekutuan sebelum ini.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan