Mahkamah tolak rayuan bekas Pengarah CLP

Diterbitkan: Isnin, 20 April 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak rayuan bekas pengarah Sijil Amalan Guaman (CLP), Khalid Yusoff bagi mengetepikan sabitan kesalahan dan hukuman penjara tiga bulan yang diputusakan oleh Mahkamah Sesyen pada 2007.

Pesuruhjaya Kehakiman Zainal Azman Abdul Aziz berkata, keputusan Hakim Mahkamah Sesyen Harmindar Singh Dhaliwal pada 31 Julai 2007 adalah tepat dan tidak berlaku ketidakadilan mengikut undang-undang.

Khalid, 57, yang juga bekas dekan Fakulti Undang-Undang Universiti Teknologi Mara (UiTM) didapati bersalah mengubah keputusan peperiksaan CLP untuk faedah kewangan di pejabat lembaga itu di Menara Tun Razak, Jalan Raja Laut, di sini antara Ogos dan 13 September 2001.

Dia juga didapati bersalah menipu lembaga tersebut agar mempercayai bahawa senarai induk peperiksaan tersebut mengandungi markah yang diberi oleh pemeriksa dan mendorong lembaga supaya meluluskan senarai itu pada tempat dan masa yang sama.

Khalid, bapa kepada tiga orang anak, kemudian merayu supaya keputusan Mahkamah Sesyen itu diketepikan.

Selepas menerima keputusan itu, peguam bela, Jagit Singh memohon untuk menangguhkan hukuman terhadap Khalid sementara dia membuat rayuan di Mahkamah Rayuan.

Zainal kemudian membenarkan permohonan itu dan mengekalkan syarat-syarat terdahulu iaitu jaminan sebanyak RM20,000 sehingga rayuan selesai.

Dalam penghakimannya, Zainal berkata, beliau telah mengambil tiga isu utama dalam kes tersebut, ialah skima permarkahan peperiksaan, isu pemindahan markah dan isu pemalsuan dokumen.

Beliau berkata, ketika Khalid mengambil alih pengendalian peperiksaan itu daripda Prof Datuk P. Balan, beliau telah mendapat bimbingan dan penerangan mengenai segala aspek pengendalian peperiksaan tersebut.

"Adalah mustahil untuk mengatakan skima permarkahan tidak diketahui oleh Khalid dan keterangan Prof Balan telah menunjukkan skima tersebut telah disimpan di peti keselamatan di pejabat CLP dan Khalid tahu tentang pengwujudan skima tersebut," jelas Zainal.

Mengenai isu pemindahan markah, Zainal berkata, jurutaip Hanizah Dol yang bekerja dengan Khalid telah memberi keterangan bahawa tertuduh telah menggunakan pen untuk mengubah markah pada senarai induk dan tertuduh telah mengarahkannya untuk menaipkan markah yang telah diubah itu.

"Keterangan saksi ini begitu jelas bahawa Khalid telah mengubah markah keputusan peperiksaan CLP Julai 2001 tersebut walaupun beliau tidak mempunyai kuasa berbuat demikian," kata Zainal.

Beliau menambah, keterangan dua pemeriksa Saseedharan Menon dan K. Chandra bahawa mereka hanya memberi cadangan dan Khalid yang bertindak sendiri dalam mengubah markah.

Zainal berkata, walaupun Khalid banyak bergantung kepada rakaman percakapan Allahyarham Tan Sri Moktar Abdullah di mana beliau sendiri telah menegaskan perantaraan markah perlu dilakukan secara profesional dan pengarah peperiksaan tidak diberi kebebasan penuh untuk mengendalikan peperiksaan tersebut.

"Ketika Khalid disoal oleh jawatankuasa lembaga kelayakan pada 13 September 2001 tentang tindakannya mengubah markah, Khalid telah hanya berdiam diri tanpa memberikan apaapa alasan.

"Ketika perbicaraan, pihak pendakwaan telah membuktikan dokumen itu telah dipalsukan oleh Khalid dan dia secara sengaja telah menggunakan dokumen tersebut untuk menipu lembaga," tegas Zainal.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Raja Rozela Raja Toran. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan