Pesara tentera didakwa ugut dan tendang teman wanita

Diterbitkan: Jumaat, 3 April 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Seorang pesara tentera dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan mengugut dan menendang teman wanitanya di bahagian muka, akhir bulan lepas.

Abu Bakar Abdullah, 41, dari Yan, Kedah, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Norkamilah Aziz.

Bagi pertuduhan pertama, Abu Bakar didakwa mengacukan sebilah pisau dan mengancam mencederakan teman wanitanya Nurul Syazwani Mohd, 23, seorang kakitangan bank dan bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memukul dan menendang bahagian muka teman wanitanya itu.

Keduadua kesalahan itu didakwa dilakukan dalam kereta di Jalan Persiaran Selangor, Seksyen 15 di sini, kira-kira pukul 6.30 petang, 31 Mac lepas.

Bagi pertuduhan pertama dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya manakala bagi pertuduhan kedua mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau keduaduanya.

Norkamilah membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM4,500 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 7 Mei untuk sebutan semula kes. Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Siti Syatimah Ibrahim manakala Abu Bakar diwakili peguam M. K Thas. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan