Pengarah syarikat didakwa lakukan pengubahan wang haram RM428, 000

Diterbitkan: Jumaat, 3 April 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang pengarah syarikat skim cepat kaya, Syarikat Business Time Dina, hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap dua pertuduhan melakukan aktiviti pengubahan wang haram melibatkan RM428,101.91 antara April hingga Mei tahun lepas.

Hasri Mohd Noor, 39, didakwa memindahkan hasil aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM380,000 daripada akaun syarikat itu, di Ambank (M) Berhad ke dalam akaun milik Tetuan Iszam Kamal&Hazlan di CIMB Bank Berhad, No 2, Medan Istana, Bandar Ipoh Raya, Ipoh, Perak Darul Ridzuan pada 15 April 2008.

Dia juga didakwa dengan pertuduhan yang sama melibatkan RM48,101.91, di Ambank (M) Berhad, Bangunan Ambank Group, No 55, Jalan Raja Chulan, di sini, pada 22 Mei 2008.

Bagi keduadua pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Subseksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 dibaca bersama subseksyen 87(1)(a) akta yang sama, yang membawa hukuman denda sehingga RM1juta atau penjara sehingga lima tahun jika disabitkan kesalahan.

Pada 23 Nov 2008, Hasri bersamasama Hazlan Abd Hamid didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Baharu terhadap dua pertuduhan iaitu membantu menguruskan Syarikat Business Time Dina Sdn Bhd yang telah menerima deposit daripada beberapa syarikat tanpa lesen yang sah di antara 4 Jan hingga 26 Mac 2008, dan dibebaskan dengan ikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin serta pasportnya diserah kepada mahkamah.

Dalam prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya dari Unit Pelucut Harta Bank Negara, Mohd Farez Rahman memberitahu mahkamah bahawa kesalahan itu tidak boleh dijamin kerana kesalahan itu adalah serius.

Bagaimanapun beliau menyerahkan kepada mahkamah untuk membenarkan tertuduh diikat jamin dengan menawarkan ikat jamin sebanyak RM80,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Mohd Farez turut memberikan syarat tambahan iaitu pasport tertuduh diserahkan kepada Mahkamah Sesyen di sini selepas kes tertuduh di Kota Baharu selesai.

Hakim S.M Komathy Suppiah membenarkan Hasri diikat jamin RM50,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 9 April ini untuk sebutan semula kes.

Hasri diwakili peguam Mohd Firuz Jaffril. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan