Roda tertanggal: Pengusaha monorel diberi lesen walaupun banyak kemalangan berlaku

Diterbitkan: Rabu, 1 April 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Walaupun banyak kemalangan berlaku sebelum pembukaan monorel kepada orang ramai, pengusaha yang mengendalikan projek berkenaan masih diberikan lesen pembukaan, Mahkamah Tinggi di sini diberitahu, hari ini.

Penolong Pengarah Kanan (Jurutera Awam) di Jabatan Keretapi Malaysia, Mohd Azmi Zakaria memberitahu mahkamah, lesen pembukaan diberikan kepada syarikat konsesi yang mengendalikan projek monorel setelah jurutera di jabatan itu membuat pemeriksaan keseluruhan monorel berkenaan.

"Sebelum pembukaan monorel oleh syarikat konsesi, jurutera Jabatan Keretapi akan membuat pemeriksaan, seterusnya menyediakan laporan kepada menteri dan setelah berpuas hati barulah lesen dikeluarkan dan berharap tidak akan berlaku lagi kemalangan," katanya.

Mohd Azmi berkata beliau memang tahu ada banyak kemalangan yang berlaku sebelum kejadian roda keselamatan tren monorel yang sedang dipandu uji tertanggal tetapi beliau tidak ingat kemalangankemalangan itu.

Mohd Azmi berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam Steven Thiru yang mewakili David Chelliah, 47, wartawan kanan Bernama, dalam perbicaraan kes saman kecuaian RM5 juta yang dikemukakannya terhadap pengusaha monorel.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Harmindar Singh Dhaliwal bermula semalam bagi menentukan liabiliti dalam kes ini.

Setelah enam tahun dan tujuh bulan, penantian David, berakhir apabila perbicaraan kes saman yang difailkan pada 2003, terhadap Monorail Technology, KL Monorail Systems Sdn Bhd dan Ketua Pengarah Jabatan Keretapi berhubung kejadian roda keselamatan tren monorel yang sedang dipandu uji tercabut, melayang dan mengenainya ketika beliau sedang menyeberangi Jalan Sultan Ismail di sini pada 16 Ogos, 2002, didengar.

Ketika ditanya peguam Thiru sama ada beliau masih ingat mengenai dua lagi kemalangan yang berlaku sebelum dan selepas kejadian roda monorel tertanggal, iaitu pada bulan Julai 2002 di mana monorel yang sedang dipandu uji berlanggar dengan monorel yang lain yang juga sedang dipandu uji dan pada Nov 2002, di mana sebuah tin cat telah jatuh dari atas di kawasan monorel, Mohd Azmi berkata, beliau tidak ingat kemalangan itu tetapi memang tahu ada banyak kemalangan yang berlaku.

Kepada soalan lain sama ada jabatan itu ada memberi notis amaran atau tanda isyarat amaran seperti meletakkan kon penghadang sebagai memberi amaran kepada orang awam mengenai tren yang sedang dipandu uji itu, Mohd Azmi berkata jabatan itu tidak berbuat demikian walaupun dalam Seksyen 16 Akta Keretapi menyatakan ia mempunyai kuasa untuk berbuat demikian.

Mohd Azmi yang merupakan saksi sulung jabatan itu yang dinamakan sebagai defendan dalam saman berkenaan juga memberitahu mahkamah bahawa semasa tren sedang dipandu uji, jurutera daripada jabatan tersebut hadir untuk memastikan operasi berjalan lancar, tapi bukan pada setiap masa.

"Kadang-kadang jurutera jabatan tidak hadir. Ini kerana ada syarikat jurutera perunding yang telah dilantik khas bagi menjalankan tugas pemeriksan itu," katanya.

Mohd Azmi juga bersetuju dengan cadangan Thiru bahawa tiga minggu sebelum kejadian, roda keselamatan yang tertanggal itu telah dibuka dari monorel dan dipasangkan semula pada monorel itu.

Bagaimanapun, beliau tidak ingat mengapa roda keselamatan itu dikeluarkan dan dipasangkan semula.

Mohd Azmi juga bersetuju dengan cadangan Thiru bahawa mengikut Seksyen 7 Akta Keretapi, jabatan itu pada bilabila masa bertanggungjawab memastikan projek monorel selamat termasuklah ketika ia dipandu uji dan juga selepas perkhidmatannya dibuka kepada orang ramai.

Bagaimanapun, Mohd Azmi tidak bersetuju dengan cadangan Thiru bahawa jabatan itu hanya mengambil peranan aktif selepas pembukaan monorel sahaja kerana jabatan itu pada kebiasaannya sebulan atau dua minggu sekali akan membuat lawatan ke tapak projek monorel.

Mohd Azmi juga tidak bersetuju dengan cadangan Thiru bahawa syorsyor yang diberikan "Jawatankuasa Siasatan Kejadian Roda Keselamatan Tertanggal dan Menimpa Pejalan kaki pada 16 Ogos 2002" menunjukkan ada kelemahan pada reka bentuk monorel tersebut.

Antara yang disyorkan jawatankuasa yang ditubuhkan pada 28 Ogos 2002 bagi menyiasat kejadian itu, demi memastikan sistem monorel lebih selamat pada masa depan ialah: kaedah pemasangan roda keselamatan kepada hab serta peralatanperalatan lain di bawah tren hendaklah dikaji semula untuk mengadakan ciri pasti selamat agar tidak berlaku kejatuhan apa-apa alat daripada tren walaupun berlaku kegagalan pengikatan, prosedur pemeriksaan tren sebelum menjalani setiap ujian di landasan Kuala Lumpur hendaklah dikaji semula bagi memastikan tren benar-benar selamat untuk digunakan dengan mengadakan prosedur kerja bertulis.

Setiap kerja pemeriksaan yang dijalankan hendaklah disahkan pegawai berkenaan, prosedur pembuatan yang lebih mantap dan lengkap hendaklah diwujudkan yang perlu mengambil kira semua kehendak yang dinyatakan dalam reka bentuk.

Pemeriksaan kerja yang dijalankan oleh kontraktor kepada pengeluar hendaklah diperincikan serta disahkan oleh kakitangan yang sesuai oleh kedua-dua pihak kontraktor dan pengeluar yang menerima hasil kerja kontraktor berkenaan sebelum kerja diluluskan dan diterima.

Pesuruhjaya Kehakiman Harmindar menangguhkan kes esok bagi membolehkan keduadua pihak mengemukakan hujahan masing-masing. BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan