Dua wanita milik DVD, VCD cetak rompak didedan RM1.04 juta

Diterbitkan: Selasa, 31 Mac 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Seorang hakim Mahkamah Sesyen yang tidak mahu Malaysia dilihat tidak serius dalam memerangi cetak rompak, hari ini mengenakan hukuman denda RM1.04 juta atau penjara lima bulan terhadap dua wanita yang didapati bersalah memiliki 520 keping DVD dan VCD cetak rompak empat tahun lepas.

"Kita tidak mahu negara kita dikatakan tidak serius dalam menangani kes cetak rompak dan kita juga tidak mahu negara kita dipanggil sebagai pusat pelanggaran hak cipta," kata Hakim Azimah Omar ketika menjatuhkan hukuman itu terhadap Ng Shuk Kuen, 27, dan Wong Chooi Fun, 27, yang hamil lima bulan.

Kedua-dua wanita itu melakukan kesalahan itu di sebuah premis di Jalan Maxwell, Rawang, pada 6.15 petang 23 Dis 2005.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 41 (1)(d) Akta Hakcipta 1987 dan dihukum mengikut Seksyen 41 (1)(i) Akta Hakcipta 2003 yang memperuntukkan hukuman denda minimum RM2,000 dan maksimum RM20,000 bagi setiap salinan langgaran atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Hakim Azimah berkata mahkamah perlu mengutamakan kepentingan awam melebihi kepentingan kedua-dua tertuduh walaupun seorang daripada mereka sedang hamil.

Beliau berkata permohonan peguam bela kedua-dua tertuduh agar mereka dibebaskan dengan bon jaminan tidak dapat dipertimbangkan kerana kes cetak rompak begitu berleluasa berlaku di negara ini.

"Amat jelas hukuman yang diperuntukkan di bawah akta ini mencerminkan keseriusan kesalahan ini dan negara dibanjiri salinan langgaran yang dijual di pasaran terbuka.

"Justeru usaha membanteras perlu dilakukan bagi memastikan ekonomi negara kita stabil, dan oleh itu setiap tertuduh dikenakan denda RM2,000 bagi setiap salinan langgaran yang dimiliki atau lima bulan penjara jika gagal bayar," katanya.

Sejurus Azimah membacakan keputusannya, peguam Wan Zainuddin Wan Musa yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon untuk penangguhan hukuman tetapi Azimah menolak permohonan itu.

Ditanya sama ada anak guamnya mampu membayar denda, Wan Zainuddin berkata mereka tidak mampu untuk membayar kerana jumlahnya amat tinggi.

Setelah prosiding berakhir, Ng dan Wong dilihat menangis setelah dimaklumkan bahawa mereka terpaksa menjalani hukuman penjara selama lima bulan.

Sepanjang perbicaraan, pendakwaan yang dikendalikan Pegawai Pendakwa dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Rosli Yong Danian, memanggil tujuh saksi. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan