Bekas Pengarah Penang Port bebas tuduhan rasuah

Diterbitkan: Rabu, 25 Mac 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Bekas pengarah Penang Port Sdn Bhd, Mustafa Kamal Maughani hari ini dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini daripada tuduhan menerima rasuah RM50,000 daripada sebuah syarikat perkhidmatan bot tunda, 10 tahun lepas.

Hakim M.Gunalan membuat keputusan itu di akhir kes pembelaan setelah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan yang munasabah terhadap Mustafa, 62.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR) dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wirna Arifin hadir di mahkamah mewakili TPR Saiful Hazmi Mohd Saad manakala Mustafa diwakili peguam Peter Siew.

Mustafa didakwa secara rasuah menerima suapan wang tunai RM50,000 daripada Pengarah Urusan Syarikat Kantan Jaya Marine Service (PG) Sdn Bhd, Tan Pay Kong sebagai upah kononnya untuk membantu syarikat itu mendapatkan kontrak bot tunda daripada Penang Port Sdn Bhd dan tidak mengganggu perjalanan perkhidmatan bot tunda syarikat itu.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Coffee House Melting Pot, Hotel Concorde di sini, kirakira 2.50 petang pada 6 April 1999.

Mustafa didakwa mengikut Seksyen 10 (a)(aa) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum menurut Seksyen 16 Akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Sejurus selesai prosiding mahkamah, Mustafa dilihat keluar dari kandang tertuduh dan tersenyum ke arah anggota keluarganya yang turut hadir di mahkamah sebelum duduk di sebuah bangku di galeri awam sambil menitiskan air mata kegembiraan.

Seorang anak lelaki beliau dilihat menenangkannya sambil menghulurkan tisu. Pemberita yang cuba mendapatkan komen daripada Mustafa dan anggota keluarganya bagaimanapun gagal menemui mereka yang dipercayai terus meninggalkan kawasan mahkamah selepas prosiding berakhir.

Sepanjang perbicaraan, 18 saksi pendakwaan memberikan keterangan manakala pihak pembelaan mengemukakan tiga saksi termasuk Mustafa.

Pada 19 Sept tahun lepas, mahkamah yang sama melepas dan membebaskan Mustafa tanpa dipanggil membela diri daripada dua pertuduhan lain meminta suapan RM250,000 daripada Tan yang didakwa dilakukan untuk tujuan yang sama dan di tempat yang sama pada Oktober 1998 dan 6 April 1999. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan