Enam cedera, bas bertembung lori - Berita Jenayah | mStar

Enam cedera, bas bertembung lori

Diterbitkan: Sabtu, 3 November 2018 3:01 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seramai enam orang cedera selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan sebuah bas ekspres dan sebuah lori yang membawa blok simen di Kilometer (KM) 27.4 Lebuhraya Utara Selatan, awal pagi Sabtu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, pemandu bas ekspres dari Pulau Pinang itu merempuh lori pada kira-kira pukul 4.30 pagi.

"Kemalangan itu berlaku di Lebuh Utara Selatan dari Sungai Buloh, menghala ke plaza tol Duta.

"Pemandu bas dan lima penumpang cedera, dan mereka dihantar ke Hospital Sungai Buloh, Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Selatan untuk menerima rawatan," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, pemandu bas, Abdullah Bakar, 53, mengalami kecederaan di bahu, manakala penumpang, Nurshamsabiha Jam, 61, cedera di lutut kanan.

"Penumpang Tan Sih Yong, 48, dan Robiatun Adawiyaj Safri, 26, cedera di bahagian muka.

"Penumpang lain, Mohamad Fahmi Hakim Azhar, 22, cedera di bahagian kepala dan jari, manakala Nur Aneesa Syazmira Sayuti, 18, patah kaki kanan,” katanya.

Tambah Zulkefly, kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan