Mayat bayi disangka anak patung terapung dalam tasik - Berita Jenayah | mStar

Mayat bayi disangka anak patung terapung dalam tasik

Diterbitkan: Ahad, 7 Oktober 2018 4:42 PM

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Seorang penduduk kampung sedang memandu pulang dari pasar ikan di bandar Membakut ketika dia melihat ada objek seperti 'anak patung' yang terapung di kolam berhampiran rumahnya.

Lelaki itu memberhentikan kereta untuk memeriksa 'anak patung' itu dan berasa terkejut apabila mendapati bahawa ia sebenarnya adalah mayat budak lelaki yang mereput.

Ketua Polis Beaufort, Timbalan Supritendan Azmir Abd Razak berkata, lelaki yang dikenal pasti sebagai Ag Madun Estor itu memberitahu rakannya mengenai penemuan tersebut sebelum membuat laporan polis tentang insiden yang berlaku pukul 12.30 malam di Kg Binsuluk, Membakut, Sabtu.

"Siasatan mendapati mayat bayi itu dipercayai bayi yang dilahirkan kurang dari seminggu yang lalu.

"Mayat bayi itu telah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu untuk bedah siasat," kata Azmir.

Beliau berkata, bayi itu ditemui masih bertali pusat.

Beliau berkata usaha mencari ibu atau waris bayi terbabit sedang dijalankan.

Beliau berkata kes itu disiasat di bawah Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan menyebabkan kematian.

"Sesiapa yang mempunyai maklumat untuk kes itu diminta menghubungi Insp Ghazali Kasmani di 011-20601567," ujar Azmir.

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan