Penjawat awam disamun guna pisau potong sayur ketika tunggu lif - Berita Jenayah | mStar

Penjawat awam disamun guna pisau potong sayur ketika tunggu lif

Diterbitkan: Khamis, 27 September 2018 9:47 PM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Seorang penjawat awam wanita, yang baru pulang dari kerja tidak sempat masuk ke rumahnya di Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) Presint 6 di sini apabila diacukan pisau pemotong sayur sebelum disamun ketika menunggu lif selain keretanya dilarikan.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, ACP Rosly Hassan dalam kenyataannya pada Khamis berkata, pada kejadian kira-kira 8.40 malam Rabu mangsa yang merupakan seorang pegawai perangkawan berusia 37 tahun di Jabatan Perangkaan Malaysia baru pulang dari tempat kerja ke Apartmen Larai di sini.

"Mangsa meletakkan kenderaannya Nissan Almera di aras tiga apartmen berkenaan dan semasa menunggu lif di aras 3A untuk ke rumah, mangsa didatangi seorang lelaki yang mengacukan pisau ke arahnya dan menarik beg tangannya sebelum melarikan diri menggunakan lif," katanya lagi..

Tambah Rosly, mangsa  pulang ke rumah dan memaklumkan kejadian itu kepada suaminya.

Selang 10 minit, suami mangsa mendapati kereta mangsa sudah dilarikan dan jiran mangsa kemudian membuat panggilan kecemasan.

"Suspek dikejar orang awam sehingga ke Persiaran Timur, Putrajaya menghala ke Kajang dan Puchong sebelum kereta yang dilarikan terbabas. Suspek yang keluar dari kenderaan kemudiannya melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran," jelas beliau.

Kata Rosly, bantuan dari Unit Anjing Pengesan K9 dari Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang gagal mengesan suspek dan polis akan membuat fotofit selain menunjukkan album penjenayah kepada mangsa.

"Analisis pihak forensik di kenderaan telah berjaya mengesan lapan cap jari di bahagian pintu pemandu dan penumpang sebelah kiri. Usaha untuk mengesan suspek masih diteruskan," tambah beliau. - Bernama

Tags / Kata Kunci: samun
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan