Suspek bunuh, humban ibu ke lubang kumbahan akhirnya ditahan - Berita Jenayah | mStar

Suspek bunuh, humban ibu ke lubang kumbahan akhirnya ditahan

Diterbitkan: Selasa, 25 September 2018 2:48 PM

Gambar hiasan

(Ubah saiz teks)

BALIK PULAU: Lelaki yang disyaki terlibat dalam kes pembunuhan warga emas yang mayatnya ditemukan dalam lubang kumbahan najis di Kampung Sungai Burung, di sini, semalam (Isnin) ditahan polis pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supritendan A.A. Anbalagan berkata lelaki berusia 29 tahun itu ditahan di sebuah kedai makan di Jalan Air Putih, di sini pada 8.45 pagi oleh sepasukan polis yang membuat risikan dan intipan ke atas suspek.

"Berdasarkan siasatan awal, lelaki itu mengaku membunuh ibunya ketika sedang bertengkar dengan mangsa di  rumah mereka awal pagi Isnin sebelum menikam leher warga emas itu dengan pisau seterusnya mengelar leher si mati.

"Kejadian itu berlaku di bahagian dapur rumah mereka dan suspek kemudiannya terus menolak lubang kumbahan najis yang terdapat di belakang rumah sebelum membuang ibunya ke dalam kumbahan najis yang bertutup sedalam 1.5 meter," katanya di sini pada Selasa.

Beliau berkata siasatan juga mendapati, suspek yang merupakan anak keempat daripada lima beradik itu bertindak sedemikian kerana berada dalam keadaan khayal berikutan di bawah pengaruh bau petrol.

Anbalagan berkata lelaki itu juga mengaku tiada penglibatan orang lain dalam kejadian tersebut dan suspek akan dibawa ke Mahkamah Balik Pulau esok untuk perintah tahanan reman.

"Berikutan penahanan lelaki yang tidak bekerja dan mempunyai dua rekod lampau kerana mencederakan kakaknya itu, polis percaya dapat menyelesaikan kes itu," katanya.

Mayat mangsa ditemukan menantu lelakinya pada 2.30 petang semasa mencari ibu mertuanya di sekeliling kawasan rumah, selepas wanita berusia 63 tahun itu dikatakan hilang sejak 19 Sept lepas dan anggota keluarganya membuat laporan polis berhubung kehilangan itu pada 21 Sept.

Polis dengan bantuan pihak bomba mengambil masa lebih dua jam untuk mengeluarkan mayat wanita itu yang sudah berulat dan hasil pemeriksaan awal pasukan forensik menemui kesan kelar di bahagian depan lehernya. - Bernama


Tags / Kata Kunci: bunuh ibu
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan