Polis serbu rumah isteri CEO Cradle Fund - Berita Jenayah | mStar

Polis serbu rumah isteri CEO Cradle Fund

Diterbitkan: Rabu, 12 September 2018 3:46 PM

Nazrin Hassan.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Polis membuat serbuan di sebuah rumah milik ahli keluarga Samirah Muzaffar, isteri kepada Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd, Allahyarham Nazrin Hassan, bagi membantu siasatan kes kematiannya.

Sumber mengesahkan kehadiran polis di rumah di Taman Tun Dr Ismail pada kira-kira pukul 8 pagi Isnin lalu.

Difahamkan, Samirah dan anak-anaknya tinggal di rumah tersebut sejak kematian Nazrin pada 14 Jun lalu.

Menurut sumber, polis mengumpul beberapa bahan termasuk sebuah telefon pintar, perakam kamera litar tertutup (CCTV) dan barang peribadi lain bagi membantu siasatan.

Nazrin terbunuh dalam kebakaran di rumahnya pada 14 Jun. Awal bulan lalu, polis mengklasifikasikan semula kes itu sebagai bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan berikutan siasatan forensik oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Nazrin dijumpai mati selepas terperangkap dalam kebakaran di tingkat atas rumahnya di Mutiara Damansara dengan kesan melecur 30 peratus di badannya.

Samirah yang juga Eksekutif Kanan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) kemudian mengkritik pihak berkuasa mengendalikan kes itu.

Polis menahan Samirah dan bekas suaminya minggu lalu, sebelum membebaskan bekas suaminya.

Samirah sebelum ini direman selama tujuh hari, dan reman dilanjutkan selama tiga hari pada Isnin.

Dua anak tiri Nazrin turut ditahan pada Sabtu lalu, selepas dikaitkan dengan kes tersebut, dan kedua-dua mereka direman selama tujuh hari.

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan