Lelaki rentung kereta terbabas di Lebuhraya Sultan Iskandar - Berita Jenayah | mStar

Lelaki rentung kereta terbabas di Lebuhraya Sultan Iskandar

Diterbitkan: Ahad, 9 September 2018 11:45 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki rentung apabila kenderaan yang dipandunya terbakar selepas dipercayai terbabas di Lebuhraya Sultan Iskandar dari arah Sentul menghala ke Seremban berhampiran Bangunan Parlimen, di sini, awal pagi Ahad.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Khirudin Drahman berkata dalam kejadian kira-kira 3 pagi Ahad, mangsa ditemui dalam keadaan rentung dalam kereta jenis Nissan Grand Livina.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 3.54 pagi dan mengejarkan dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Hang Tuah dengan sembilan anggota ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, kami mendapati kereta mangsa sedang terbakar dan bomba mengambil masa beberapa minit untuk memadamkan kebakaran.

“Selain itu, bomba mengambil masa beberapa minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu manakala mangsa ditemui rentung 90 peratus dengan hampir keseluruhan badan,” katanya kepada Bernama.

Khirudin berkata identiti mangsa tidak dikenal pasti dan bomba menyerahkan mayat mangsa kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Tags / Kata Kunci: kemalangan , rentung
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan