Leka berhibur hingga wang habis, pemuda Malaysia buat laporan palsu dirompak - Berita Jenayah | mStar

Leka berhibur hingga wang habis, pemuda Malaysia buat laporan palsu dirompak

Diterbitkan: Sabtu, 18 Ogos 2018 2:38 PM

(Ubah saiz teks)

BANGKOK: Seorang pemuda Malaysia yang menghabiskan wangnya di sebuah bar di Chiangmai Thailand sehingga tiada wang untuk pulang ke tanah air mungkin terpaksa menghabiskan beberapa tahun di penjara kerana membuat  laporan palsu kepada polis kononnya telah dirompak oleh “pelancong barat” yang bersenjatakan pisau.

Menurut sumber polis Chiangmai, siasatan mendapati pemuda berusia 20 tahun itu  sebenarnya terdesak membuat laporan palsu itu bagi  mendorong ayahnya menghantar wang kepadanya untuk pulang ke Malaysia setelah semua wangnya telah dihabiskan untuk berhibur di sebuah bar.

Anggota polis dari Balai Polis Mueng di Chiangmai  telah melakukan siasatan di tempat kejadian  sebaik menerima laporan pemuda itu pada  Jumaat  dengan  menemuramah  penduduk  setempat  namun  mendapati tiada sebarang kejadian seperti yang dilaporkan itu.

“Kami tidak menemui sebarang bukti kejadian rompakan seperti yang didakwa dan lelaki Malaysia itu akhirnya mengakui membuat laporan palsu adalah sebagai helah setelah dia mengabiskan semua wangnya di sebuah bar,” kata sumber itu lagi.

Menurut sumber itu lagi, pemuda berkenaan memberitahu polis bahawa dia memerlukan  laporan polis itu  bagi menyakinkan  bapanya  supaya  menghantar  lebih  banyak  wang  bagi  membolehkannya pulang ke Malaysia.

Lelaki Malaysia itu mendakwa tidak mempunyai satu senpun untuk pulang ke Malaysia setelah menghabiskan kesemua RM2,000 (16,000 Baht) yang ada padanya  untuk minum minuman keras dan berhibur di sebuah bar pada malam dakwaan kejadian rompakan itu.

Menurut sumber itu, pemuda berkenaan yang mendakwa dari keluarga seorang ahli perniagaan tiba di Chiangmai bersendirian pada Khamis 10 malam waktu tempatan.

Sekiranya bersalah kerana membuat laporan palsu, rakyat Malaysia itu menghadapi  kemungkinan  dipenjara tiga tahun  dan denda 10,000 Baht (RM1,250) atau diberi penangguhan hukuman bergantung kepada budi bicara hakim.

“Apa yang dia telah lakukan adalah satu jenayah (memfailkan laporan palsu) dan hukumannya  adalah penjara. Ia merupakan perkara besar di negara kami sekiranya kejadian itu benar-benar berlaku,” kata sumber itu sambil menambah rompakan terhadap pelancong mencemar imej Thailand sebagai destinasi pelancongan.

Sumber polis itu juga berkata lelaki tersebut  mungkin  menghadapi  masalah  lebih  besar  dengan  pihak berkuasa Thailand kerana dia didakwa menawarkan 20,000 Baht (RM2,500) kepada anggota  polis  sebagai dorongan supaya menggugurkan kes terhadapnya.

“Pemuda Malaysia ini mungkin merasakan ianya suatu gurauan dengan  menawarkan  bayaran  bagi kami melupakan kes tersebut. Ini bukan caranya,” katanya sambil menambah  bahawa  rompakan adalah kesalahan serius di Thailand di mana sabit kesalahan boleh dihukum penjara seumur hidup oleh mahkamah.

Menurut sumber itu lagi , lelaki Malaysia itu tidak dibenarkan ikat jamin dan kini ditahan pihak polis sehingga dihadapkan ke mahkamah berkemungkinan minggu hadapan.

Polis tidak membenarkan ikan jamin kerana bimbing lelaki itu meninggalkan Thailand dan pulang ke Malaysia.

Bernama  difahamkan bapa pemuda itu akan tiba di Chiangmai dalam masa terdekat.-- Bernama 

Tags / Kata Kunci: Chiangmai , laporan palsu
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan