Dadah RM310,000 dijumpai dalam kereta mewah - Berita Jenayah | mStar

Dadah RM310,000 dijumpai dalam kereta mewah

Diterbitkan: Jumaat, 27 Julai 2018 12:07 PM

Mohd Idris menunjukkan lokasi persembunyian dadah di dalam kereta selepas sidang media rampasan dadah di Ibu Pejabat Polis Daerah Tangkak pada Jumaat. - Bernama

(Ubah saiz teks)

TANGKAK: Polis menemui dadah pelbagai jenis bernilai RM310,000 yang disembunyi dalam ruangan khas sebuah kereta mewah ketika pemeriksaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Supritendan Mohad Idris Samsuri memberitahu sidang media di IPD Tangkak di sini pada Jumaat.

Kereta yang sebelum ini ditahan berhubung kes peras ugut di Johor Baharu, dipindahkan ke IPD Tangkak bagi siasatan lanjut bersangkut dengan laporan polis di Bukit Gambir dua minggu lepas.

“Hasil pemeriksaan kereta itu, polis menemui dadah jenis syabu sebanyak 7,031 gram (7.03 kilogram), ketamin (3.0 gram) dan pil ekstasi 2.0 gram (tujuh biji) yang disembunyikan dalam plastik berwarna hitam dan kotak di ruang tambahan khas bahagian belakang kereta terbabit.

“Suspek lelaki berusia 43 tahun warga tempatan itu kini direman selama lima hari bermula hari ini di IPD Tangkak dan hasil ujian air kencing, suspek didapati positif dadah jenis Methamphetamine (syabu).

Mohad Idris berkata berdasarkan rekod, suspek mempunyai empat kes lampau berkaitan kes dadah dan tiga berkaitan kes jenayah dan memiliki senjata api. 

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman mandatori gantung sampai mati.

Sementara itu, dalam kes lain, polis menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 42 tahun pada tarikh yang sama (24 Julai) di Felda Seri Ledang dekat sini.

“Ketika serbuan kira-kira pukul 11.00 pagi, suspek cuba melarikan diri dan polis menemui empat paket berisi dadah jenis heroin seberat 84 gram yang disembunyikan dalam poket seluar yang dipakai suspek.

Beliau berkata dadah bernilai RM2,000 itu dipercayai dijual untuk pasaran tempatan dan hasil pemeriksaan air kencing mendapati suspek yang tidak bekerja itu positif dadah jenis morfin.

Hasil siasatan juga mendapati suspek mempunyai rekod enam kes lampau berkaitan dadah dan kes itu disiasat di bawah Sekyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman mandatori gantung sampai mati. - Bernama

Tags / Kata Kunci: dadah
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan