Gaya hidup mewah bongkar identiti pengedar dadah - Berita Jenayah | mStar

Gaya hidup mewah bongkar identiti pengedar dadah

Diterbitkan: Selasa, 24 Julai 2018 5:00 PM

Ketua Polis Daerah Langkawi, Supt Mohd Iqbal Ibrahim (dua, kanan) bersama pegawainya menunjukkan lebih satu kilogram dadah jenis heroin dan ganja yang dirampas dalam dua serbuan dilakukan di antara Isnin lepas dan awal pagi Selasa.

(Ubah saiz teks)

LANGKAWI: Gaya hidup mewah seorang pemuda berusia 23 tahun membawa padah apabila diberkas  polis kerana memiliki 3.28 kg dadah yang disyaki heroin bernilai kira-kira RM100,000.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Supritendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata penahanan pemuda itu adalah hasil maklumat orang awam yang yang curiga dengan caranya yang mampu hidup dalam kemewahan dan berbelanja besar biarpun dalam usia yang muda.

Menurutnya polis percaya suspek itu yang diberkas pada kira-kira  pukul 5.30 pagi Isnin di sini dipercayai baharu terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah di pulau ini kerana dia tidak mempunyai  rekod jenayah lampau, manakala ujian saringan dadah ke atasnya didapati negatif.

“Namun hasil siasatan mendapati suspek memang  terlibat  dalam  kegiatan dadah  dan merupakan   seorang ‘tokan' (pengedar dadah)  di pulau peranginan ini,” katanya sambil menambah suspek kini ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.

Beliau berkata rampasan dadah itu  adalah yang terbesar di Langkawi setakat ini setelah rampasan dadah seberat 2.4 kilogram dari seorang  lelaki berusia 46 tahun dipercayai pengedar dadah dua minggu lepas.

Mohd Iqbal berkata sehingga kini  polis tidak menemui sebarang kaitan antara suspek berusia 23 tahun itu dengan pengedar yang diberkas dua minggu lepas namun polis sedang menyiasat rangkaian pengedaran dadah yang melibatkan suspek pengedar muda itu.-- Bernama   


Tags / Kata Kunci: Iqbal , dadah , tokan , Langkawi
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan