Budak 10 tahun maut didera - Berita Jenayah | mStar

Budak 10 tahun maut didera

Diterbitkan: Selasa, 10 Julai 2018 1:37 PM

Gambar hiasan.

(Ubah saiz teks)

KUANTAN: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun meninggal dunia dipercayai akibat didera ibu kandungnya dalam kejadian di sebuah runah di Kampung Permatang Badak di sini, Isnin.

Ketua Polis negeri Datuk Seri Rosli Ab Rahman berkata ibu kandung mangsa, 29, sebelum itu, membuat panggilan kecemasan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) pada 12 tengah hari memaklumkan anak lelakinya tidak sedarkan diri di rumah.

“Setelah menerima panggilan, sebuah ambulans berserta anggota perubatan ke rumah mangsa dan menemui kanak-kanak itu berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Pasukan perubatan kemudian cuba melakukan bantuan pernafasan resusitasi kardiopulmonari (CPR), sebelum mengejarkannya ke HTAA untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Kecemerlangan Kadet Polis Kontijen Pahang di sini Selasa.

Mangsa, bagaimanapun meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

Berikutan itu pihak HTAA telah membuat laporan polis pada 3.45 petang apabila pemeriksaan awal mendapati terdapat kesan kecederaan dan lebam pada beberapa anggota badan mangsa, dipercayai akibat didera.

Rosli berkata bertindak atas laporan itu polis kemudian menahan ibu mangsa yang datang untuk membuat laporan berhubung kes tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan.

“Siasatan awal polis mendapati suspek turut menjadi pengasuh kepada tiga kanak- kanak lain di rumahnya dan kita akan memanggil anggota keluarga mangsa untuk bantu siasatan,” katanya.

Bedah siasat masih dijalankan di Unit Forensik HTAA dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: penderaan , budak
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan