SPRM tahan CEO GLC - Berita Jenayah | mStar

SPRM tahan CEO GLC

Diterbitkan: Rabu, 27 Jun 2018 7:27 PM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA:  Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bergelar ‘Datuk' bagi membantu siasatan kes penyelewengan pemberian beberapa tender projek pembinaan bernilai kira-kira RM300 juta.

Menurut sumber SPRM, lelaki berusia 59 tahun itu dipercayai menyalah guna kuasanya bagi memanipulasi beberapa proses projek pembinaan yang sedang dijalankan.

"Projek tersebut telah dianugerahkan kepada syarikat kontraktor menerusi proses tender namun disebabkan beberapa isu yang sengaja diadakan, kontraktor terbabit gagal melaksanakannya.

"Ia kemudian diberi kepada kontraktor pengganti yang dipercayai mempunyai kepentingan dengan ‘Datuk' terbabit dan perkara tersebut dipercayai memang telah dirancang dari awal," katanya.

Sumber SPRM berkata lelaki berkenaan ditahan di syarikat GLC yang terlibat dalam hartanah itu di sini kira-kira 12 tengah hari Rabu.

Difahamkan, SPRM juga melakukan serbuan di tiga lokasi sekitar Lembah Klang bagi mendapatkan dokumen berkaitan kes berkenaan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu namun enggan mengulas lanjut.-Bernama

Tags / Kata Kunci: SPRM , CEO
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan